PETALING JAYA: Di sebalik kecederaan melanda beregu lelaki No. 5 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun masih mampu meloloskan diri ke peringkat 16 terbaik selepas mengetepikan wakil Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, Australia, hari ini.
Pada pusingan awal, Wei Chong-Kai Wun mengambil masa selama 38 minit untuk menewaskan Chien Wei-Hsuan Yi yang menghuni ranking ke-52 dunia 23-21, 21-16.
Kai Wun yang berdepan masalah kecederaan otot dan juga tendon di bahagian betis sehingga belakang lututnya masih dalam proses pemulihan.
Pada awalnya beregu itu berhajat untuk menarik diri jika tempat ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China, Disember ini telah terjamin, tetapi, nampaknya mereka mengambil keputusan tidak membatalkan penyertaan di Australia.
Wei Chong-Kai Wun mengisi slot kedua Malaysia pada WTF, mengiringi beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang telah layak lebih awal.
Pada pusingan seterusnya, Khamis ini, Wei Chong-Kai Wun bakal berdepan Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer, selepas beregu Denmark itu menewaskan gandingan profesional Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong 21-19, 13-21, 22-20 dalam masa 58 minit.
Sementara itu, beregu No. 4 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengalahkan He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan dari Taiwan 21-10, 21-10 hanya dalam masa 24 minit.
Pada pusingan kedua, Sze Fei-Izzuddin bakal bertemu sama ada wakil tuan rumah, Rizky Hidayat-Frengky Wijaya Putra atau beregu Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han.
Satu lagi pasangan negara turut mara ialah Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang menumpaskan Lee Jhe Huei- Yang Po Hsuan dari Taiwan 21-10, 21-13 dalam masa 26 minit dan beregu Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin menanti mereka di peringkat 16 terbaik.
Satu-satunya beregu Malaysia yang tumpas, hari ini ialah Lau Yi Sheng-Lim Tze Jian selepas kalah kepada Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 15-21, 10-21. UTUSAN










