KUALA NERUS: Usaha memelihara ekosistem tanah bencah negara terus diperkasa apabila Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerajui Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Biodiversiti Tanah Bencah Kong Kong, Johor, yang berlangsung pada 4 hingga 10 Oktober lalu.
Hasil dapatan ekspedisi tersebut dibentangkan dalam Seminar Prosiding Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Biodiversiti Tanah Bencah Kong Kong 2025 yang berlangsung Kuala Terengganu, hari ini.
Ekspedisi berkenaan menghimpunkan hampir 80 penyelidik daripada UMT, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM), dengan sokongan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Masari Holdings Sdn. Bhd. selaku penaja utama.
Pengarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), Profesor Madya Dr. Nor Azman Kasan ketika mewakili Naib Canselor UMT berkata, Tanah Bencah Kong Kong merupakan kawasan ekosistem unik yang menjadi habitat kepada pelbagai flora dan fauna bernilai ekonomi serta spesies endemik, menjadikan penyelidikan di kawasan tersebut amat signifikan.
Beliau berkata, ekspedisi itu dimuktamadkan selepas beberapa siri perbincangan dan lawatan tapak dijalankan bersama pihak industri dan MBPG, seterusnya membuktikan komitmen tinggi semua pihak dalam melaksanakan penyelidikan berimpak besar.
Masari Holdings Sdn Bhd menaja RM89,000 bagi menjayakan ekspedisi serta RM80,000 bagi penganjuran seminar berkenaan. Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Khairulrazi Zakaria berkata kerjasama industri dan akademia amat penting dalam memastikan kelestarian sumber semula jadi, selari dengan agenda Environmental, Social and Governance (ESG) serta Sustainable Development Goals (SDGs).
“Tajaan ini bukan sahaja menyokong aktiviti penyelidikan, tetapi menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Tanah Bencah Kong Kong sebagai destinasi aqua-pelancongan dan edu-pelancongan masa hadapan, selaras aspirasi Pasir Gudang Perkasa 2030,” katanya.
Sepanjang ekspedisi enam hari lima malam itu, lebih 200 sampel dan spesimen dikumpulkan meliputi flora, fauna, mikroorganisma, bentik dan elemen ekosistem lain.
Semua data dan spesimen berkenaan akan didaftarkan di Pusat Repositori Biodiversiti UMT sebagai rujukan penyelidikan negara.
Ekspedisi ini turut melibatkan analisis saintifik seperti DNA, eDNA, kajian populasi hidupan liar serta pemantauan kualiti air, sekali gus memberi gambaran jelas mengenai tahap kesihatan ekosistem Sungai Kong Kong.
Dalam ucapannya, Dr. Khairulrazi turut menekankan kepentingan pendekatan Living Lab yang melibatkan komuniti setempat, khususnya komuniti nelayan yang bergantung kepada sumber laut sebagai punca pendapatan. Beliau berkata, penglibatan komuniti bukan sahaja memberi mereka akses kepada ilmu baharu, tetapi membuka peluang ekonomi alternatif melalui aktiviti berkaitan eco-tourism.
Beliau menambah bahawa komuniti setempat berpotensi menjadi citizen scientist kerana merekalah pemerhati paling hampir terhadap perubahan ekosistem. Sinergi antara pengalaman masyarakat dan kepakaran penyelidik akan menghasilkan dapatan kajian lebih tepat, sekali gus memantapkan usaha pemuliharaan Tanah Bencah Kong Kong.
Dalam pada itu, seminar prosiding hari ini turut menyaksikan majlis pertukaran dokumen Surat Hasrat antara Masari Holdings Sdn Bhd dan AKUATROP UMT sebagai langkah awal ke arah penubuhan Pusat Konservasi Sumber Akuatik serta Galeri Biodiversiti. Pusat tersebut bakal menjadi platform pendidikan, penyelidikan dan kesedaran awam berhubung khazanah biodiversiti Kong Kong.
Sementara itu, Pengarah Urusan MARSAH Sdn. Bhd merangkap Penaung Ekspedisi, Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin, berkata, pembinaan Galeri Komuniti Tanah Bencah Kong Kong yang dicadangkan mampu menjadi pusat rujukan kepada masyarakat, pelajar, ahli akademik dan penggubal dasar. Galeri tersebut akan menempatkan peta biodiversiti, spesies unik, rekod perubahan ekologi serta warisan komuniti nelayan tempatan.
Beliau turut menegaskan bahawa Tanah Bencah Kong Kong mempunyai potensi jangka panjang untuk diangkat sebagai Taman Negeri jika usaha pemuliharaan dijalankan secara berterusan dan sistematik. Status itu diyakini dapat memperkukuh perlindungan biodiversiti selain meningkatkan potensinya sebagai destinasi pelancongan pendidikan dan penyelidikan bertaraf tinggi.
Kejayaan ekspedisi dan seminar ini, katanya, membuktikan bahawa penyatuan kepakaran merentas universiti, industri, pihak berkuasa tempatan serta komuniti adalah kunci kepada kelestarian ekosistem sensitif. Kerjasama sebegini bukan sahaja menghasilkan nilai akademik, malah memberi impak sosial dan ekonomi yang besar kepada komuniti setempat.
“Kami percaya komuniti sekitar Tanah Bencah Kong Kong akan menerima manfaat jangka panjang hasil usaha ini. Ia bukan hanya projek penyelidikan, tetapi pelaburan ilmu yang bakal membentuk generasi masa depan yang lebih peka terhadap kelestarian biodiversiti,” katanya.
Seminar yang berlangsung sehari di Raia Hotel, Kuala Terengganu ini menghimpunkan seramai 200 penyelidik dan ahli akademik dari pelbagai IPT dan agensi. Turut menampilkan Duta Konsevasi, Datuk Rosyam Nor.










