UCL: Foden bantu City atasi Dortmund 4-1

UCL: Foden bantu City atasi Dortmund 4-1

PEMAIN Manchester City, Phil Foden melepaskan rembatan kencang ke gawang Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, awal pagi tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Dua gol daripada Phil Foden dan masing-masing satu menerusi Erling Haaland serta Rayan Cherki membantu Manchester City menang 4-1 ke atas Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola kini mengumpul 10 mata selepas empat daripada lapan aksi peringkat liga, manakala Dortmund jatuh ke tangga ke-14 pada tujuh mata.

Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi Foden selepas menerima hantaran Tijjani Reijnders sebelum melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol pelawat, Gregor Kobel.

Haaland menggandakan kedudukan tujuh minit kemudian hasil gerakan pantas di tengah padang, disudahkan dengan tenang selepas menerima umpanan tepat daripada Jeremy Doku.

Penyerang Norway itu kini mengumpul 27 gol dalam 17 perlawanan untuk kelab dan negaranya musim ini.

Foden menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-57 apabila menerima satu lagi hantaran Reijnders sebelum melepaskan rembatan lencong ke penjuru gawang.

Dortmund berjaya merapatkan jurang menerusi Waldemar Anton yang menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-72, menghiburkan penyokong ‘Yellow Wall’ yang tetap bersorak sepanjang perlawanan.

Pemain muda City, Rayan Cherki memastikan kemenangan bergaya buat tuan rumah apabila menjaringkan gol keempat dalam masa kecederaan selepas mengelecek melepasi dua pertahanan Dortmund sebelum rembatan rendahnya terbias dan menewaskan Kobel.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN