Tiada 'raja' beregu lelaki buka peluang sama rata

Tiada ‘raja’ beregu lelaki buka peluang sama rata  

Man Wei Chong dan Tee Kai Wun muncul juara badminton Indonesia Masters 2025 pada awal tahun ini - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setakat ini belum ada lagi pasangan yang benar-benar mendominasi arena beregu lelaki badminton dunia apabila hampir setiap kejohanan utama melahirkan juara berbeza sekali gus membuka peluang sama rata kepada semua pemain.

Penolong Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Akademi Badminton Malaysia, (ABM) yang baharu, Chang Kim Wai berkata, landskap semasa saingan beregu dunia kini dilihat semakin seimbang tanpa mana-mana pasangan mampu mengekalkan rentak kemenangan secara konsisten.

“Sekarang dalam dunia tidak nampak satu pasangan yang betul-betul konsisten. Lima juara (Jelajah Dunia BWF) bukan pasangan yang sama. Juara Perancis pun bukan gandingan yang sama,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di ABM Bukit Kiara, hari ini.

Menurutnya, situasi tersebut sebenarnya membuka peluang kepada pemain beregu lelaki negara untuk mencipta kejayaan terutamanya apabila beberapa pasangan Malaysia kini menghuni kelompok 10 terbaik dunia.

“Kita pun ada peluang. Sekarang semua seimbang. Malaysia ada pemain dalam ranking 10 terbaik menjadikan peluang lebih tinggi,” katanya.

Beliau menegaskan, fokus utamanya buat masa ini adalah memastikan pemain negara mampu menyerlah dalam baki siri Jelajah Dunia BWF untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) pada Disember ini.

“Untuk tahun ni, kita masih ada WTF. Itu sasaran utama, untuk bersaing sebagai pemain yang betul-betul layak di kejohanan terakhir musim ini,” katanya.

Tambah beliau, tumpuannya kini adalah membantu ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi bagi memperkemaskan latihan sedia ada selain memastikan setiap pemain bersedia dari segi kemahiran dan keserasian di gelanggang.

“Saya sebagai pembantu akan ikut arahan (Herry) dan bantu apa yang dirancang. Fokus latihan banyak kepada kemahiran dan teknik kawalan semasa permainan,” katanya.

Untuk rekod, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah menempah tiket ke Jelajah Dunia Akhir WTF dan kini tumpuan terarah kepada Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menghuni ranking No.3 untuk merebut tiket ke kejohanan itu bersama beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berada di kedudukan ketujuh.

Mengikut format pertandingan hanya lapan beregu teratas ranking WTF serta dua wakil bagi satu negara dapat bersaing kejohanan terakhir musim ini yang mana menawarkan hadiah kemenangan sebanyak AS$ 2.5 juta (RM10.5 juta) secara keseluruhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN