KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun kempunan ke pentas final Terbuka Hylo selepas tewas kepada wakil Indonesia di Saarbrucken, Jerman, sebentar tadi.
Gandingan No.5 dunia itu gagal menemui rentak apabila tunduk kepada pasangan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam straight set 16-21, 15-21 dalam masa 34 minit.
Kekalahan itu turut melanjutkan rekod tidak memihak kepada ‘ManTee’ selepas dua kekalahan terdahulu kepada pasangan sama di Terbuka Indonesia 2025 dan Hong Kong 2024.
Ia juga menutup peluang beregu bimbingan Herry Iman Pierngadi itu menambah koleksi kejuaraan musim ini selepas kali terakhir menjulang gelaran Malaysia Masters pada Mei lalu.
Walaupun kecewa, prestasi konsisten mereka sepanjang musim dengan lima penampilan separuh akhir membuktikan pasangan muda ini kekal antara gandingan terbaik dunia.
Wei Chong-Kai Wun kini dijangka menumpukan perhatian kepada dua baki kejohanan musim ini iaitu Kumamoto Masters (11–16 November) dan Terbuka Australia (18–23 November) bagi memastikan kedudukan mereka dalam kelompok lapan terbaik dunia sekali gus melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, Disember ini. – UTUSAN










