PETALING JAYA: Beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei semakin mencerahkan peluang bagi merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia, musim ini, selepas mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia, Sydney, Australia, hari ini.
Diletakkan sebagai pilihan pertama, juara dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan dari Taiwan 21-17, 21-15 dalam masa 37 minit pada suku akhir.
Kemenangan itu juga menyaksikan Tang Jie-Ee Wei semakin melebarkan rekod kemenangan 4-1 ke atas Hong Wei-Nicole yang merupakan beregu No. 17 dunia.
Walaupun Tang Jie terpaksa bertarung dengan isu kecederaan, gandingan itu mempamerkan persembahan mantap di Sydney untuk meletakkan diri mereka berada di landasan terbaik merangkul gelaran di Sydney.
Pada separuh akhir, esok, Tang Jie-Ee Wei akan bertemu beregu Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai yang menghuni ranking ke-65 dunia.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, gandingan No. 4 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menewaskan gandingan dua negara, Malaysia dan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Goh V Shem 21-13, 20-22, 22-20 dalam masa 1 jam 9 minit.
Pilihan kedua itu bakal berdepan beregu muda Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang mengejutkan wakil Malaysia yang menghuni ranking No. 5 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 15-21, 21-19, 15-21 dalam masa 58 minit.
Pilihan ketiga kejohanan itu yang telahpun melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, Disember ini, dibelenggu kecederaan yang menimpa Kai Wun dan ekoran masalah itu, mereka kini bergelut untuk mendapatkan kembali rentak sebenar. – UTUSAN










