Swiatek mula garang buru kejuaraan kedua WTA Akhir

Swiatek mula garang buru kejuaraan kedua WTA Akhir

IGA SWIATEK - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Bintang tenis Poland, Iga Swiatek memulakan kempen WTA Akhir dengan langkah bergaya selepas menumpaskan Madison Keys 6-1, 6-2 pada aksi pembukaan di Arena Tertutup Universiti Raja Saud, hari ini.

Kemenangan itu bukan sahaja kemenangan ke-62 musim ini, malah mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain paling konsisten apabila kini mendahului Kumpulan Serena Williams.

Juara edisi 2023 di Cancun itu jelas menunjukkan taring sejak awal permainan, apabila mendominasi pertukaran pukulan dan memaksa Keys melakukan kesilapan bertubi-tubi.

Swiatek yang kini memburu kejuaraan keduanya di kejohanan penutup musim itu berkata dia gembira dapat mengekalkan keseimbangan antara permainan agresif dan berhati-hati.

“Secara jujur, saya gembira dengan semuanya hari ini, semua yang saya latih dapat saya laksanakan dengan baik.

“Saya bekerja keras di Warsaw sebelum datang ke sini dan itu memberi saya keyakinan untuk terus maju serta berkembang sebagai pemain,” kata Swiatek.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, Elena Rybakina turut mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan pilihan keempat dari Amerika Syarikat, Amanda Anisimova 6-3, 6-1 dalam masa 57 minit.

Rybakina yang menempah tiket terakhir ke Riyadh hasil kejuaraan di Ningbo dan separuh akhir di Tokyo, kini dilihat bakal menjadi pencabar utama Swiatek dalam perebutan kejuaraan kali ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN