Sepanyol sah ke Piala Dunia 2026 walau seri dengan Turki

Sepanyol sah ke Piala Dunia 2026 walau seri dengan Turki

PEMAIN Sepanyol, Marcos Llorente cuba mengasak pemain Turkiye, Mustafa Eskihellac pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEVILLE: Sepanyol mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 selepas seri 2-2 menentang Turki dalam perlawanan kelayakan di Seville, awal pagi tadi.

Rekod tanpa kalah mereka dalam Kumpulan E diteruskan sekaligus menamatkan saingan di tangga teratas walaupun berdepan tentangan hebat dari pasukan pelawat yang tidak mudah mengalah.

Juara Eropah itu bermula garang apabila mendahului awal menerusi jaringan Dani Olmo pada minit keempat namun, Turki yang memerlukan kemenangan besar untuk mencabar kedudukan, tidak mudah mengalah apabila menyamakan kedudukan menerusi gol Deniz Gul pada minit ke-42.

Sepakan sudut yang diambil Alper Yilmaz berjaya disudahkan Gul untuk menjaringkan gol pertama untuk  Sepanyol dibolosi dalam kempen kelayakan kali ini.

Memasuki babak kedua, Turki mengejutkan penyokong tuan rumah apabila Salih Ozcan menjaringkan gol menerusi rembatan rendah dari tepi kotak penalti pada minit ke-54 untuk meletakkan pasukannya di hadapan 2-1.

Bagaimanapun, Sepanyol pantas bangkit dan menyamakan kedudukan pada minit ke-62 melalui jaringan Mikel Oyarzabal hasil daripada rembatan selepas percubaan Yeremy Pino berjaya diselamatkan oleh pertahanan Turki di garisan gol.

Keputusan seri itu bukan sahaja memastikan Sepanyol kekal tanpa kalah dalam 31 perlawanan kelayakan berturut-turut, malah mengesahkan tiket mereka ke kejohanan Piala Dunia yang bakal berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat pada 2026.

Sepanyol mempamerkan persembahan mantap walaupun tanpa beberapa pemain utama seperti Lamine Yamal, Rodri, Dani Carvajal, Pedri dan Dean Huijsen.

Rekod bersih itu sekaligus menunjukkan kekuatan skuad kendalian yang masih meneruskan rentetan kelayakan tidak terkalah sejak 1978.

Piala Dunia 2026 akan menandakan penampilan ke-17 Sepanyol dalam kejohanan paling berprestij itu, mengulangi kejayaan gemilang mereka menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN