GLASGOW: Scotland menamatkan penantian lebih dua dekad untuk kembali ke pentas Piala Dunia apabila bangkit mencatat kemenangan dramatik 4-2 ke atas Denmark dalam aksi kelayakan di Hampden Park, awal pagi tadi.
Perlawanan penuh debaran itu menyaksikan Scotland, yang melalui kempen penuh turun naik, terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan sebelum mengesahkan tiket automatik ke Piala Dunia pertama mereka sejak 1998.
Skuad bimbingan Steve Clarke bermula cemerlang apabila Scott McTominay membuka tirai jaringan seawal minit ketiga. Gol akrobatik pemain tengah Napoli itu, hasil hantaran Ben Gannon-Doak, mencetuskan sorakan bergema seluruh stadium.
Namun, kelebihan itu tidak kekal lama selepas Denmark bangkit menyamakan kedudukan menerusi gerakan tersusun yang mula menekan pertahanan tuan rumah.
Scotland yang kelihatan gugup gagal mengekalkan rentak awal, membenarkan Denmark menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya. Penyerang Denmark, Rasmus Hojlund, turut melihat satu jaringannya dibatalkan kerana kekasaran.
Ketika permainan berbaki kurang 10 minit, Denmark yang beraksi dengan 10 pemain kembali mengikat kedudukan 2-2 melalui Patrick Dorgu pada minit ke-81, sekali gus meletakkan mereka di landasan untuk muncul juara Kumpulan C dan menolak Scotland ke aksi playoff.
Namun, drama sebenar tercetus pada masa kecederaan. Kieran Tierney, yang bersiap untuk digantikan, melonjakkan harapan negara apabila melepaskan rembatan kaki kiri yang padu untuk menewaskan Kasper Schmeichel pada minit 90+3, menghantar seluruh Glasgow ke dalam keriuhan luar biasa.
Ketika Denmark turun habis-habisan mencari gol penyamaan, penjaga gol mereka Schmeichel turut naik membantu serangan.
Tindakan itu membawa padah apabila Kenny McLean mengambil kesempatan melancarkan rembatan jarak jauh dari kawasan tengah padang ke gawang kosong, memastikan kemenangan 4-2 yang mencetuskan pesta tidak berhenti dalam kalangan penyokong Tartan Army.
Denmark pula pulang dengan rasa kecewa selepas hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan terakhir mereka, memaksa mereka mencari peluang terakhir melalui playoff walaupun menguasai sebahagian besar aksi di Glasgow.-AGENSI










