Sarawak, Pahang perkukuh kerjasama menerusi bidang kraf, pelancongan, warisan budaya

Sarawak, Pahang perkukuh kerjasama menerusi bidang kraf, pelancongan, warisan budaya

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah berkenan menghadiri majlis Malam Mesra Sarawak-Pahang diiringi Wan Junaidi dan Abang Johari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kerjasama dalam bidang kraf tangan, pelancongan dan pemeliharaan warisan budaya terus memperkukuhkan hubungan antara Sarawak dan Pahang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jalinan itu bukan sahaja memberi manfaat bersama, malah menonjolkan keunikan identiti masyarakat berbilang kaum dan agama yang patut dihargai serta diketengahkan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

“Kepelbagaian budaya serta hasil kraf tangan seperti tenunan songket, pua kumbu, kraf rotan dan manik bukan sahaja simbol tradisi, malah menjadi pemacu utama sektor pelancongan dan ekonomi negeri masing-masing,” katanya berucap pada Majlis Malam Mesra Sarawak-Pahang yang diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini malam tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al Haj, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Selain itu Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, Menteri Besar Pahang Dato Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail bersama Datin Sri Diraja Dato’ Burhah Mohammed, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta ahli-ahli kabinet Kerajaan Sarawak dan Pahang.

Abang Johari turut menyampaikan penghargaan kepada Tengku Ampuan Pahang yang beberapa kali mencemar duli ke Sarawak bagi menyokong usaha memperkasakan industri kraf tangan dan seni tekstil tempatan.

Beliau menyifatkan, lawatan tersebut membuka ruang kerjasama antara Kraftangan Malaysia, Kerajaan Pahang dan Sarawak dalam memperkukuh industri kreatif berasaskan warisan.

“Melalui program pertukaran artis dan jurukraf antara kedua negeri, kita bukan sahaja meningkatkan kepakaran, malah memastikan warisan tradisi terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Abang Johari menambah usaha memperluas kerjasama antara negeri membuktikan komitmen Sarawak dalam memartabatkan seni, budaya dan warisan tempatan sebagai sumber ekonomi baharu yang berdaya maju.

Sementara mengimbas kembali keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke Borneo sewaktu menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16, Abang Johari menyifatkan ia akan terus dikenang, menjadi simbol penyatuan antara Semenanjung dan Malaysia Timur dalam semangat Malaysia yang sebenar.

“Patik dan seluruh rakyat Sarawak masih segar dalam ingatan akan keberangkatan Kebawah Duli Tuanku ke Borneo sewaktu Tuanku memayungi negara sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Lawatan tersebut bukan sekadar kunjungan rasmi, malah menjadi lambang kasih Tuanku terhadap sekalian rakyat di Borneo, khususnya di bumi Sarawak.

“Di setiap kawasan yang Tuanku berkenan singgah, rakyat menyambut dengan penuh kasih dan hormat, terharu melihat keprihatinan serta perhatian Tuanku terhadap kesejahteraan rakyat jelata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN