PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengekalkan hampir keseluruhan barisan pemain yang beraksi menentang Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027 bulan lalu apabila menamakan 27 pemain bagi kem latihan pusat kali ini.
Daripada senarai tersebut, 24 pemain dikekalkan daripada skuad terdahulu, manakala seorang pemain baharu dari skuad B-23, Aliff Izwan Yuslan, turut dinaikkan ke pasukan utama.
Turut mencuri tumpuan ialah kemunculan semula Matthew Davies yang kembali disenaraikan selepas pulih daripada kecederaan, selain Ryan Lambert yang menerima panggilan pertama ke skuad kebangsaan.
Skuad kendalian Cklamovski itu dijadual memulakan latihan pusat bermula 10 hingga 17 November sebagai persiapan menghadapi Nepal dalam aksi timbal balik Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027, yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 18 November ini.-UTUSAN










