KUALA LUMPUR: Jaguh karate negara, S. Prem Kumar enggan pulang dengan tangan kosong apabila turun beraksi dalam kategori bawah 55 kilogram (55kg) di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini, dengan misi jelas memburu dua pingat emas dalam acara kumite.
Menurut Prem, latihan intensif hampir setahun tidak boleh berakhir dengan kekecewaan, dengan sasaran tertinggi perlu diletakkan bagi memastikan pencapaian terbaik dapat direalisasikan.
“Sudah tentu saya mahu emas. Takkan saya berlatih setahun hanya untuk kalah. Saya mahu memastikan tahun 2025 menjadi kenangan manis buat diri saya.
“Saya paling takut tersingkir pada pusingan pertama. Jadi saya akan pastikan sesuatu dapat dicapai di Thailand nanti,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA, Nazmizan Muhammad di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Prem merupakan pemenang pingat emas di Sukan SEA Filipina 2019 dan Kemboja 2023 tekad mengulangi pencapaian yang sama bagi mengekalkan rekod cemerlang dalam kariernya.
Prem turut memasang impian membawa pulang emas dalam kategori berpasukan yang disifatkan berada pada prestasi terbaik ketika ini.
“Pasukan kami berada di tahap optimum. Jadi saya yakin peluang untuk meraih emas dalam acara berpasukan juga cerah,” katanya.
Ditanya mengenai pencabar terkuat, atlet berusia 31 tahun itu berkata dia enggan memikirkan perkara tersebut sebaliknya hanya fokus kepada diri sendiri.
“Saya hanya dengar khabar angin, tetapi fokus saya bukan pada negara lain. Fokus saya adalah pada diri sendiri dan apa yang perlu saya lakukan,” katanya. – UTUSAN










