KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa tidak pernah dipanggil untuk menghadiri sebarang mesyuarat ataupun kaukus berkenaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, wakil-wakil daripada PN telah menghantar lima wakil melibatkan beliau sendiri dan ahli Parlimen Bachok, Kubang Pasu, Tangga Batu serta Machang.
“Wakil-wakil PN telah menghantar nama mereka untuk menghadiri kaukus sejak 29 Mei, namun sehingga kini tiada jemputan diterima. Bila perjanjian sudah ditandatangani, baru hendak panggil.
“Ini menyebabkan pihak kami tidak dapat meneliti dan memberikan pandangan berkenaan perjanjian yang melibatkan kedaulatan negara,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Menurut Takiyuddin, perjanjian itu sepatutnya dibincangkan lebih awal dalam kaukus, selaras dengan amalan terdahulu seperti perjanjian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang mengambil masa lima tahun dan 19 pusingan rundingan sebelum ia dimuktamadkan.
“Proses ART kini dilakukan secara terburu-buru, langsung tidak melibatkan pembangkang atau Parlimen. Kami khuatir beberapa isu penting yang melibatkan kepentingan negara terlepas pandang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin turut mempersoalkan mengapa perjanjian itu dijalankan tanpa melalui kaukus seperti yang diminta oleh pihak pembangkang.
“Kami sebelum ini hanyalah dipanggil untuk mendengar taklimat ringkas yang lebih kepada sesi makan tengah hari, bukan mesyuarat kaukus rasmi yang membolehkan draf perjanjian dikaji secara mendalam,” jelasnya.
Katanya, kaukus ini adalah penting untuk dibuat sebelum sebarang perjanjian dibuat bagi memastikan proses ratifikasi berjalan lancar dan memberi ruang untuk menyuarakan pandangan mereka, sambil memastikan kepentingan strategik negara tetap terpelihara sepanjang pelaksanaan ART.
“Tetapi malangnya, pihak kami tidak dipanggil dan hanya dipanggil selepas perjanjian itu ditandatangani, iaitu hari ini,” jelasnya.
Pada 26 Oktober lalu, Malaysia dan AS menandatangani Perjanjian ART bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di ibu negara.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, perjanjian tersebut bertujuan meliberalisasikan perdagangan,perkhidmatan dan pelaburan antara kedua-dua negara, di samping menjadi platform menyelesaikan isu tarif secara bersama. – UTUSAN










