KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS) merupakan langkah penting dalam menjaga kepentingan ekonomi negara, memandangkan Malaysia akan menghadapi risiko besar tanpa penyertaan dalam perjanjian tersebut.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Mesyuarat Kaukus Parlimen berhubung perjanjian berkenaan telah berlangsung dan Kaukus itu dipengerusikan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah dengan penyertaan kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang bagi memperkukuh pendekatan dwipartisan.
Katanya, terdapat persoalan daripada pihak pembangkang mengenai mengapa mesyuarat itu diadakan lewat, namun kementeriannya telah memberikan penerangan serta komitmen agar Kaukus berfungsi dengan lebih aktif pada masa hadapan.
“Mesyuarat itu memberi ruang kepada ahli-ahli Kaukus untuk membincangkan secara mendalam isu-isu yang timbul sepanjang proses rundingan ART.
“Terdapat perbandingan dibuat dengan perjanjian perdagangan bebas lain dan apa yang penting ialah keterbukaan ahli-ahli kaukus melihat isu ini dari perspektif masing-masing dan perbincangan ini membolehkan kita memberi pencerahan yang lebih menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kaukus Parlimen mengenai perjanjian ART antara Malaysia–AS di Parlimen, hari ini.
Mengulas dakwaan ART menjejaskan kedaulatan negara, Tengku Zafrul berkata, tanggapan tersebut tidak tepat kerana perjanjian itu jelas menyatakan komitmen Malaysia dan AS terhadap kedaulatan, kemakmuran ekonomi dan rantaian bekalan yang berdaya tahan.
Beliau turut menolak dakwaan perjanjian ART hanya menguntungkan AS, sebaliknya perjanjian itu turut melindungi eksport Malaysia yang menikmati lebihan perdagangan mencecah RM75 bilion dengan AS tahun lalu.
“Dakwaan ART akan mengikat dasar Malaysia juga tidak benar kerana perjanjian itu tidak memerlukan Malaysia meliberalisasi tarif atau membuka pasaran secara tidak seimbang, selain tidak menyentuh isu sensitif seperti makanan, data, pertahanan dan keselamatan dalaman,” katanya.
Tengku Zafrul turut menolak dakwaan perjanjian dengan AS itu akan menjejaskan hubungan Malaysia dan China.
“Ini bukan perjanjian geopolitik. Ia perjanjian perdagangan. Malaysia kan terus mengekalkan akses kukuh ke pasaran lain melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China, selain Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” katanya. – UTUSAN










