KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menampung kerugian berjumlah RM5.14 bilion sejak 2020 hingga kini akibat penggunaan bekalan elektrik secara haram di premis yang terlibat dalam aktiviti melombong mata wang kripto dan bitcoin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, nilai kerugian itu dikenal pasti hasil pemeriksaan ke atas 14,489 premis melalui 91 operasi yang dijalankan, selain 77 kertas siasatan dibuka setakat ini.
Beliau berkata, bagi tempoh sama, terdapat 85 kes melibatkan premis yang menjadi mangsa kecurian elektrik telah direkodkan.
Katanya, berdasarkan siasatan, premis terlibat disahkan mangsa dan mereka tidak didakwa atau dikenakan bayaran.
“TNB memantau penggunaan elektrik yang luar biasa, gangguan pada meter dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Cyber Security Malaysia.
“Sebab itu langkah yang kita nak ambil ialah memberi kesedaran terutama kalau pemilik premis sama ada premis kediaman mahupun perniagaan, kalau mereka sewakan tempat kepada orang pastikan jangan guna nama mereka untuk memohon.
“TNB juga sedang merintis penggunaan meter di pencawang bagi mengesan kebocoran bekalan elektrik,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH–Kepong) mengenai jumlah kerugian TNB sejak 202 hingga kini akibat kes kecurian elektrik khususnya aktiviti sindiket mata wang kripto.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, sejak pengenalan sistem biometrik dan pengetatan prosedur, kes pemalsuan identiti telah menurun secara ketara.
“Sebelum ini pada 2021 terdapat 92 kes, 2022 (49 kes) dan 2023 (26 kes) dan selepas pengenalan sistem biometrik hanya terdapat tiga kes,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan mempertanggungjawabkan pemilik premis untuk menanggung bil tertunggak atau hutang yang terhasil daripada pemalsuan identiti.
“Jaminan itu diberikan jika terbukti pemilik akaun tidak terbabit dalam pemalsuan identiti atau akaun dipalsukan pihak ketiga,” katanya. – UTUSAN










