KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,916 notis saman dikeluarkan terhadap kenderaan asing setakat 21 September 2025, susulan penguatkuasaan sistem Permit Masuk Kenderaan atau Vehicle Entry Permit (VEP) yang diwajibkan kepada semua kenderaan asing memasuki Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem VEP yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 di pintu sempadan darat Malaysia–Singapura, membolehkan tindakan segera diambil terhadap kenderaan asing yang tidak mendaftar.
Beliau berkata, ia termasuk pengeluaran notis saman di kawasan penguatkuasaan sekitar Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Katanya, melalui pelaksanaan sistem itu, rekod saman dan tunggakan setiap kenderaan asing dapat disemak secara langsung ketika masuk atau keluar negara, sekali gus menjadikan proses penguatkuasaan lebih efisien dan mengurangkan risiko pengelakkan tanggungjawab undang-undang oleh pemilik atau pemandu.
“Kenderaan asing yang mempunyai saman tertunggak diwajibkan melangsaikan bayaran sebelum dibenarkan meninggalkan Malaysia.
“Berdasarkan Seksyen 63 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkuasa menahan atau mengarahkan kenderaan berpatah balik sehingga semua tunggakan diselesaikan sepenuhnya.
“Kementerian melalui JPJ sentiasa melaksanakan pemeriksaan terhadap kenderaan asing di pintu masuk utama negara seperti Johor dan Perlis dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN–Padang Besar) mengenai tahap keberkesanan operasi pemeriksaan kenderaan asing khususnya dalam memastikan saman tertunggak diselesaikan sebelum meninggalkan Malaysia. – UTUSAN










