Pang Ron-Su Yin, tiga lagi wakil negara ke pusingan kedu

Pang Ron-Su Yin, tiga lagi wakil negara ke pusingan kedu

HOO Pang Ron-Cheng Su Yin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin berjaya melepasi peringkat 32 terbaik, namun, ujian sebenar menanti mereka apabila bakal berdepan pasangan handalan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, esok.

Hari ini, gandingan No. 20 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas beregu ke-100 dunia, Wu Hsuan-Yi-Yang Chu Yun dari Taiwan 21-18, 18-21, 21-19 dalam masa 54 minit.

Bukan sekadar jurang ranking, malah, rekod pertemuan 0-1 yang tidak berpihak kepada Pang Ron-Su Yin apabila bertemu beregu No. 3 dunia itu wajar diberi perhatian yang lebih.

Satu-satunya kekalahan menimpa wakil Malaysia itu adalah pada kejohanan sama, tahun lalu, apabila Pang Ron-Su Yin tunduk 17-21, 16-21 di tangan Dechapol-Supissara.

Turut mengiringi Pang Ron-Su Yin ke pusingan kedua ialah naib juara Korea Masters, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang menewaskan Lu Ming Che-Hung En Tzu dari Taiwan 21-19, 21-15 dalam masa 32 minit.

Jimmy-Pei Jing yang kini melonjak ke ranking No. 29 dunia akan bertemu satu lagi wakil Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan yang menghuni ranking ke-17 dunia.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, pemain profesional Malaysia, Kok Jin Hong membenam cabaran Kiran George dari India 22-20, 21-10 dalam masa 36 minit.

Pada peringkat 16 terbaik, pemain ke-77 dunia itu bakal mengharungi laluan sukar apabila dijadual berdepan wakil tuan rumah yang berada di ranking No. 13 dunia, Kenta Nishimoto.

Dalam acara perseorangan wanita pula, K. Letshanaa menumpaskan pemain Azerbaijan, Keisha Fatimah Azzahra 25-23, 21-8 dalam masa 38 minit dan pemain Taiwan yang menghuni ranking No. 20 dunia, Chiu Pin Chian menantinya di pusingan kedua.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa tiga lagi wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien dan Justin Hoh yang tewas kepada lawan masing-masing di peringkat 32 terbaik.

Bagaimanapun, apa yang lebih mengecewakan ialah aksi longlai dipamerkan pemain No. 36 dunia, Justin yang dikejutkan pencabar yang menghuni ranking jauh lebih rendah iaitu ke-86 dunia, Shogo Ogawa dari Jepun 14-21, 9-21 dalam masa 40 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN