TOKYO: Sebanyak lima acara olahraga negara berjaya menempah slot final tetapi kontinjen masih gagal menandingi kuasa besar dunia apabila tirai Deaflympics Tokyo 2025 dilabuhkan hari ini.
Ketua jurulatih olahraga negara, Amiluddin Mohd Amin berkata, pencapaian ke final itu menepati sasaran awal namun beberapa acara tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
“Secara keseluruhannya ada beberapa acara yang kita sasarkan untuk mara ke final dan saya gembira kerana target itu berjaya dicapai, menunjukkan usaha dan disiplin atlet kita sepanjang temasya walaupun berdepan saingan sengit daripada negara-negara yang terkenal dalam bidang olahraga.
“Cuma ada beberapa acara yang tidak mencapai KPI yang kita nak dan untuk itu kita kena buat sesuatu selepas ini,” kata Amiluddin.
Antara pencapaian paling menyerlah hadir daripada pelari jarak sederhana negara dari Sabah, Azlan Kuste yang mencipta kejutan besar pada temasya ini.
Beliau mara ke tiga acara final serta memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali dalam acara 800m menjadikan atlet paling berjaya setakat ini dalam temasya ini.
“Azlan bagi saya membawa dia semangat Gunung Kinabalu ke tanah Tokyo ini dan saya amat bangga dengan pencapaian dia kerana beliau telah berjaya memecahkan rekod peribadi dan juga kebangsaan dua kali bagi acara yang sama,” katanya.
Beliau turut memuji pasukan lari berganti-ganti lelaki yang mara ke final dalam dua acara dan berjaya memperbaiki catatan masa dalam 4×100 meter (m) serta 4x400m walaupun majoriti adalah muka baharu.
“Hanya dua atlet iaitu Zaiman Megat Abu (lompat jauh, kijang) dan Shahrul Azmer Azman yang pernah beraksi di Brazil 2021, manakala selebihnya masih mentah dan pengalaman pertama bertemu juara dunia menambah tekanan serta rasa gugup,” ujarnya.
Untuk rekod, kali terakhir sukan olahraga menyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia dalam Deaflympics adalah menerusi Zana Azizul Ujang yang meraih gangsa pada acara 110m lari berpagar lelaki pada edisi 2005 di Melbourne, Australia.
Zana merupakan pemenang pingat emas pertama negara dalam temasya itu pada edisi 2001 di Rom, Itali sejak penyertaan sulung Malaysia pada 1993 di Sofia, Hungary. – UTUSAN










