MILAN: Norway mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dengan cukup bergaya selepas membelasah Itali 4-1 di San Siro, sekali gus menamatkan penantian 27 tahun sejak penampilan terakhir mereka pada 1998.
Bintang Manchester City, Erling Haaland muncul wira dengan dua gol pantas pada minit ke-78 dan 79 untuk memastikan Norway menutup Kumpulan I dengan rekod sempurna, meraih 24 mata maksimum daripada lapan perlawanan kelayakan.
Penyerang berusia 25 tahun itu kini menjaringkan 16 gol sepanjang kempen kelayakan, sekali gus meneruskan rekod menakjubkan musim ini dengan purata lebih daripada satu gol setiap perlawanan untuk kelab dan negara.
Itali yang membuka jaringan melalui Pio Esposito pada minit ke-11 hilang rentak selepas Antonio Nusa meledak gol penyamaan pada minit ke-63.
Selepas itu, hanya Norway tampak bernafsu mencari kemenangan sebelum Jorgen Strand Larsen melengkapkan kemenangan bergaya pada masa kecederaan.-AGENSI










