PETALING JAYA: Skuad bawah 17 tahun negara membuka kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2026 dengan amaran awal apabila membelasah Kepulauan Mariana Utara 13-0, malam tadi.
Kemenangan besar itu sedikit sebanyak mengubati luka kekalahan 0-11 di tangan skuad B-16 Croatia dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
Pada aksi itu, skuad kendalian Javier Jorda Ribera, Malaysia B-17 jelas berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai perlawanan seawal wisel permulaan dibunyikan.
Penyerang muda, Iman Danish, menjadi tumpuan apabila melakar hatrik pantas dalam tempoh hanya 15 minit untuk meletakkan skuad negara selesa di hadapan.
Rentak itu diteruskan rakan sepasukan apabila Nabil Ikhwan, Iman Irfan, Arfan Haziq dan Arayyam Hakeem masing-masing menyumbang gol bagi memastikan Malaysia menutup babak pertama dengan kelebihan 7-0.
Bersambung babak kedua, Malaysia terus garang apabila kembali menekan lawan yang tampak tidak mampu menyaingi keupayaan fizikal dan taktikal skuad muda negara.
Nurikhwan Hazeem dan Fahim Akmal turut mencetak nama sebagai penjaring sebelum Alif Ashraf menambah derita lawan dengan jaringan ke-12 negara.
Kepulauan Mariana Utara semakin hilang fokus apabila menjaringkan gol sendiri bagi melengkapkan kemenangan 13-0 pasukan negara.
Kejayaan besar itu pastinya menjadi tonik terbaik buat skuad muda negara membina keyakinan dan menebus maruah selepas episod hitam tumbang besar kepada Croatia sebelum ini.
Malaysia akan berdepan Hong Kong esok, manakala Kepulauan Mariana Utara dijadual bertemu tuan rumah, Vietnam pada 24 November bagi meneruskan saingan kelayakan.-UTUSAN










