'Konnichiwa' Tokyo: Deaflympics berseri dengan keanggunan Malaysia

‘Konnichiwa’ Tokyo: Deaflympics berseri dengan keanggunan Malaysia

Kontinjen pekak Malaysia yang diketuai oleh Pembawa Jalur Gemilang, Foo Zu Tung pada majlis pembukaan temasya Deaflympics 2025 yang berlangsung di Tokyo Metropolitan Gimnasium, Jepun, hari ini. - IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Sorakan gemuruh menyambut kontinjen Malaysia bergema di Tokyo Metropolitan Gimnasium dengan sapaan tuan rumah Konnichiwa (hello) dan Irasshaimase (selamat datang) mengiringi langkah atlet pekak negara, menandakan kehadiran mereka di Deaflympics 2025.

Atlet badminton, Foo Zu Tung, mengetuai kontinjen sebagai pembawa Jalur Gemilang, membawa aura kemenangan selaku juara bertahan Deaflympics 2021 dalam acara beregu wanita bersama Boon Wei Ying.

Majlis pembukaan ulang tahun ke-100 temasya itu dimulakan dengan montaj dramatik menampilkan budaya dan inovasi Jepun, sebelum kontinjen Perancis mengetuai perarakan sebagai mengenang edisi sulung Deaflympics di Paris 1924.

Malaysia melangkah sebagai negara ke-47 dalam perarakan daripada 81 negara, dengan kontinjen tampil yakin, memancarkan semangat dan kebanggaan di hadapan ribuan penonton.

Ketua Kontinjen, Mohd Yusri Abdul Ghani, bersama Timbalan Ketua Kontinjen, Jasmine Choo, mengetuai perjalanan kontinjen negara yang bersedia bersaing untuk merebut pingat.

Barisan atlet dan pegawai Malaysia mencuri perhatian apabila tampil segak berbaju Melayu dan anggun berbaju kurung, diserikan warna pic lembut dan tona kebiru-biruan yang menyerlahkan identiti negara.

Suasana bertambah gemilang dengan kehadiran kerabat diraja Jepun, Putera Mahkota, Akishino bersama isterinya, Kiko Kawashima, dua anak baginda, Putera Hisahito dan Puteri Kako.

Turut hadir Presiden Persekutuan Sukan Pekak Jepun, Ishibashi Daigo, Gabenor Tokyo, Koike Yuriko, dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, menandakan sokongan rasmi negara tuan rumah.

Majlis pembukaan menyaksikan penyalaan obor oleh bekas atlet Jepun, pengambilan ikrar rasmi, diikuti lagu kebangsaan Jepun yang dimainkan dengan penuh gemilang.

Temasya kali ini menghimpunkan 5,422 peserta, termasuk 3,081 atlet dan 2,341 pegawai menjadikannya antara penganjuran terbesar dalam sejarah sukan komuniti pekak dunia.

Persembahan seni bertemakan One Day in Hundred Days mempamerkan budaya tuan rumah Jepun, sementara lebih 200 pingat emas ditawarkan sepanjang Deaflympics 2025.

Berdasarkan edisi lalu di Brazil 2021, Ukraine menjuarai carta keseluruhan dengan 31 emas, manakala kontinjen Malaysia meneruskan misi untuk merealisasikan menuai tiga pingat emas yang disasarkan oleh Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN