KUALA LUMPUR: Seramai 556,300 individu kini menerima bantuan kebajikan dengan jumlah perbelanjaan tahunan sebanyak RM2.28 bilion, meningkat ketara berbanding lebih 200,000 penerima sebelum ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peningkatan jumlah penerima mencerminkan keperluan menilai semula kadar kelayakan pendapatan berikutan tekanan kos sara hidup, terutamanya di kawasan bandar.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan RM1,169 sebagai rujukan, namun ia bukan satu-satunya kriteria. Kami turut menilai keperluan dan keadaan pemohon,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai peratusan penerima bantuan yang produktif dan tidak produktif, keberkesanan program keluar daripada kemiskinan, serta keperluan menyemak semula kadar kelayakan pendapatan berikutan kos sara hidup yang meningkat di Dewan Rakyat, hari ini.
Nancy berkata, cadangan untuk menyemak semula kelayakan pendapatan itu pernah dibangkitkan sebelum ini dan kementerian bersedia mengusulkannya dengan sokongan Ahli Parlimen. – UTUSAN










