KUALA LUMPUR: Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur REDtone 2025 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pertandingan junior paling berprestij di Asia apabila menarik penyertaan sebanyak 1,005 pemain dari 23 negara untuk edisi ke-17 yang akan berlangsung dari 2 hingga 7 Disember ini.
Kejohanan itu melepasi angka 1,000 peserta untuk tahun kedua berturut-turut, sekali gus mencerminkan popularitinya yang semakin meningkat dalam kalangan pemain remaja di seluruh dunia.
Ia juga mengekalkan status Platinum untuk tahun ketujuh berturut-turut sejak dinaik taraf daripada status Gold, menjadikan ia kejohanan skuasy remaja terbesar di Asia dan kedua terbesar dunia selepas Kejohanan Remaja Terbuka Amerika Syarikat.
Tahun lalu, penganjuran mencatat 1,045 penyertaan, berbanding 900 pada 2023, 821 pada 2022 dan 860 pada 2019, sementara kejohanan tidak diadakan pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik Covid-19.
Malaysia sekali lagi muncul sebagai penyumbang terbesar dengan 700 pemain dari seluruh negeri, termasuk atlet elit Sekolah Sukan Bukit Jalil di bawah kendalian SRAM. Selangor merekodkan bilangan penyertaan tertinggi dengan 165 pemain, diikuti Negeri Sembilan (71), Kuala Lumpur (63), Sarawak (57) dan Johor (52).
Sebanyak 234 peserta antarabangsa turut mengambil bahagian, dengan Hong Kong dan Singapura membawa bilangan tertinggi iaitu masing-masing 67 pemain, diikuti China (35) dan Korea Selatan (31). Edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan pertama dari Macau dan Syria, manakala Jordan kembali selepas lima tahun tidak bertanding.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone Digital Berhad, Lau Bik Soon, melahirkan rasa bangga kerana syarikatnya terus diberi kepercayaan sebagai penaja utama selama 12 tahun berturut-turut.
Beliau berkata kejayaan kejohanan itu bukan sahaja terletak pada peningkatan jumlah peserta tetapi juga impaknya terhadap pembangunan pemain muda.
“Kejohanan ini menyediakan platform penting buat pemain remaja mendapatkan pendedahan antarabangsa, meningkatkan keyakinan dan mengenal pasti potensi diri masing-masing.
“Prestij dan kualiti kejohanan ini berkembang dengan sangat pesat sejak beberapa tahun lalu. Pencapaian melebihi 1,000 peserta tahun ini dan tahun lepas jelas menunjukkan pertandingan ini mempunyai keistimewaan tersendiri, sekali gus mencerminkan peningkatan mutu skuasy remaja di Asia,” katanya.
Presiden Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) merangkap pengerusi penganjur, Steven Kwan, berkata pihaknya gembira kerana kejohanan itu mengekalkan status Platinum sejak 2017.
“Kemunculan pemain dari Macau dan Syria bakal memberi warna baharu kepada pertandingan, selain menjanjikan aksi berkualiti daripada pemain muda yang bercita-cita menjadi juara dunia atau Olimpik suatu hari nanti,” ujarnya.
Pertandingan tahun ini akan berlangsung di empat venue utama sekitar ibu negara iaitu Gelanggang Skuasy Jalan Duta, ACE UM Centre of Excellence Bangsar, Kelab Tasik Diraja Kuala Lumpur dan Kelab DiRaja Selangor di Jalan Raja.
Sebanyak 12 kategori dipertandingkan merangkumi enam kategori lelaki dan enam perempuan dalam kumpulan umur Bawah 9, 11, 13, 15, 17 dan 19 tahun.
Semua perlawanan akhir dan aksi empat terbaik akan dijalankan di Gelanggang Skuasy Jalan Duta dengan kemasukan percuma untuk penonton.-UTUSAN










