TIRANA: Dua gol menerusi kapten England, Harry Kane pada lewat permainan membantu England mencatat kemenangan 2-0 ke atas Albania sekali gus melengkapkan kempen kelayakan Piala Dunia yang sempurna bagi skuad bimbingan Thomas Tuchel.
Dalam aksi Kumpulan K di Tirana, awal pagi tadi, Kane membuka tirai jaringan pada minit ke-74 apabila mudah menolak bola hasil situasi sepakan penjuru.
Lapan minit kemudian, Kane menggandakan kedudukan dengan tandukan kemas selepas menerima hantaran jauh Marcus Rashford.
Lebih menarik, England mencatat sejarah sebagai pasukan Eropah pertama melayakkan diri ke Piala Dunia tanpa bolos dalam aksi kelayakan peringkat kumpulan dalam enam perlawanan.
Mereka turut menjadi pasukan kelima Eropah yang meraih rekod 100 peratus kemenangan selepas menutup saingan dengan 24 mata maksimum daripada lapan perlawanan.
Tuchel melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama selepas lebih awal meraih tiket ke Piala Dunia, tindakan itu menyaksikan mereka menerima tentangan sengit daripada Albania yang tampil bertenaga.
Kemenangan itu juga menyaksikan Kane melebarkan rekod peribadinya kepada 78 gol daripada 112 penampilan antarabangsa, sekali gus membuktikan statusnya sebagai penjaring prolifik Three Lions.-AGENSI










