PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing terpaksa berpuas hati selaku naib juara selepas tumpas kepada wakil tuan rumah, Kim Jae Hyeon-Jeong Na Eun pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Korea Masters di Jeonbuk, Korea Selatan, hari ini.
Jimmy-Pei Jing yang menghuni ranking ke-37 dunia itu tewas straight set kepada Jae Hyeon-Na Eun 22-24, 18-21 dalam masa 54 minit di Pusat Sukan dan Budaya Universiti Wonkwang.
Kekalahan tersebut merupakan kali pertama menimpa beregu Malaysia kepada pasangan tuan rumah yang belum pernah digandingkan bersama sebelum ini.
Jimmy-Pei Jing yang mula beraksi bersama, tahun ini, masih belum mampu merangkul sebarang gelaran dengan pencapaian terbaik pada Jelajah Dunia dan Cabaran Antarabangsa muncul sebagai naib juara.
Sebelum ini, Pei Jing berpasangan dengan Tan Kian Meng dan pernah bergelar beregu No. 5 dunia, sebelum gandingannya itu mengumumkan persaraan selepas All England, Mac lalu.
Selaku naib juara pada kejohanan berstatus Super 300 itu, Jimmy-Pei Jing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$9,120 (RM38,085) beserta pingat perak. – UTUSAN








