Jaringan McAllister bantu Liverpool benam Real Madrid

Jaringan McAllister bantu Liverpool benam Real Madrid

PENYERANG Real Madrid, Kylian Mbappe diasak pertahanan Liverpool, Andy Robertson pada aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Liverpool menampilkan aksi penuh semangat di Anfield apabila menundukkan Real Madrid 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi, sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama musim ini kepada gergasi LaLiga itu.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Alexis Mac Allister pada minit ke-61 hasil tandukan kencang selepas menerima hantaran sepakan percuma cantik daripada Dominik Szoboszlai, yang menjadi nadi utama jentera tengah The Reds sepanjang perlawanan.

Kemenangan ini menyaksikan skuad bimbingan Arne Slot naik ke tangga keenam dengan sembilan mata selepas empat perlawanan, berkongsi mata dengan Real yang kekal di hadapan menerusi perbezaan gol.

Liverpool, yang baru tiga hari lalu menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, jelas turun dengan misi membara.

The Reds mengasak sejak awal dan memaksa penjaga gol Real, Thibaut Courtois, bekerja keras menafikan beberapa percubaan berbahaya termasuk daripada Szoboszlai dan Cody Gakpo.

Sebelum jaringan Mac Allister, penyokong tuan rumah sempat bersorak gembira apabila bola sepakan Szoboszlai terkena tangan Aurelien Tchouameni dalam kotak penalti, namun selepas semakan VAR, pengadil menolak tuntutan penalti itu.

Selepas rehat, Real berpeluang menyamakan kedudukan menerusi Kylian Mbappe yang melepaskan rembatan deras, namun tersasar sedikit dari tiang.

Liverpool hampir menambah jaringan pada penghujung permainan apabila Mohamed Salah melakukan hantaran cantik kepada Gakpo, namun Courtois sekali lagi muncul wira pelawat dengan aksi menyelamat menakjubkan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN