PETALING JAYA: Pendedahan awal yang diterima Hakim Danish Ramli pada Kejuaraan Motosikal Dunia amat bermanfaat untuk pelumba muda negara itu jadikan bekalan sebelum bergelar pesaing tetap bagi kelas Moto3, musim depan.
Anak muda berusia 18 tahun itu yang akan bernaung di bawah pasukan MT Helmets-MSi Team, diberi peluang melakukan penampilan sulung selaku pelumba ‘wild card’ pada Grand Prix (GP) Malaysia, bulan lalu dan kelmarin, dia beraksi sebagai pengganti kepada Ryusei Yamanaka di GP Portugal.
Perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Algarve, Hakim Danish menamatkan aksinya di kedudukan ke-12 dengan catatan masa 34 minit 29.458 saat (s) dan berjaya mengutip empat mata pertamanya pada Kejuaraan Dunia.
Mewakili pasukan No. 2 dunia, Frinsa MT Helmets-MSi, Hakim Danish berkata, banyak yang dia pelajari daripada perlumbaan di Portugal, dengan pesaing-pesaing yang cukup kompetitif.
“Saya bersyukur berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12. Saya memang seronok sewaktu berlumba, tetapi masih banyak yang perlu saya perbaiki,” katanya menerusi kiriman video dari Portugal, semalam.
Menurutnya, apabila berada di dalam perlumbaan sebenar, dia menyedari cabaran besar untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan.
“Pelumba-pelumba dalam Moto3 memang agak laju dan saya pula masih perlu perbaiki kelajuan terutama di selekoh, saya ambil ini sebagai pengalaman untuk terus perbaiki prestasi menjelang perlumbaan di Valencia,” katanya.
Pelumba berasal dari Terengganu itu juga berterima kasih kepada pasukannya yang bertungkus lumus untuk memastikan jenteranya kekal konsisten.
Selain berjaya mengutip mata sulung, Hakim Danish yang memulakan aksi dari petak ke-17, turut berjaya mengatasi seteru ketatnya, Brian Uriarte yang merupakan pemenang Piala Red Bull MotoGP Rookies dan Kejohanan Dunia FIM JuniorGP, musim ini.
Uriarte yang turut menyandang status sebagai pelumba ganti kepada juara dunia Moto3, Jose Antonio Rueda melengkapkan aksinya di tangga ke-13 (34:29.497s) bersama pasukan Red Bull KTM Ajo.
Pelumba Sepanyol, Maximo Quiles yang mewakili Aspar Team mengungguli saingan selepas mencatat masa terpantas 34:05.182s, manakala, naib juara menjadi milik rakan sepasukan Hakim Danish, Angel Piqueras (34:06.845s) dan tempat ketiga dihuni oleh Taiyo Furusato dari Honda Team Asia (34:08.068s). – UTUSAN










