PETALING JAYA: Erling Haaland sekali lagi membuktikan mengapa namanya sering disebut sebagai penyerang paling digeruni era moden, bintang Norway itu kini berjaya menyamai rekod dunia berusia 63 tahun milik legenda Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat.
Dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Norway membenam Itali 4-1, Haaland meledak dua jaringan penting bagi mengesahkan tiket ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998, malah dia turut menyamai rekod Ghani Minhat.
Lebih istimewa, dua gol tersebut menandakan Haaland telah menjaringkan gol dalam 11 perlawanan antarabangsa berturut-turut, sekali gus menyamai rekod berusia enam dekad yang sebelum ini hanya menjadi milik penyerang berbisa Harimau Malaya, Abdul Ghani, antara 28 Mei 1961 hingga 28 Ogos 1962, rekod yang turut diperakui Persekutuan Antarabangsa Sejarah & Statistik Bola Sepak (IFFHS).
Prestasi luar biasa itu bermula pada 14 November 2024 ketika Norway membelasah Slovenia 4-1, sebelum penyerang Manchester City itu terus menghukum setiap lawan yang dihadapinya.
Sepanjang siri 11 perlawanan itu, Norway menang kesemuanya, melambangkan betapa besar pengaruh Haaland dalam kebangkitan negara Scandinavia tersebut.
Menariknya, satu-satunya perlawanan yang memutuskan rentak itu adalah aksi persahabatan menentang New Zealand kerana aksi itu tidak disertai Haaland.
Pada ketika ini, Haaland berada pada tahap prestasi yang sukar digambarkan. Rekod demi rekod dipadamnya di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL) bersama Manchester City, sebelum reputasi itu diteruskan di pentas antarabangsa.
Untuk rekod, Cristiano Ronaldo yang merupakan penjaring terbanyak antarabangsa sepanjang zaman hanya merekodkan enam perlawanan berturut-turut menjaringkan gol, sesuatu yang dilakukannya dua kali dalam karier panjangnya.
Lionel Messi pula mencatat lapan perlawanan berturut-turut antara Disember 2022 hingga September 2023, masih belum menghampiri angka 11 yang kini dikongsi Haaland dan Abdul Ghani.
Dengan usia yang masih muda dan prestasi yang kian meningkat, Haaland berpeluang memecahkan rekod ini, malah mungkin mencipta angka baharu yang bakal bertahan lebih lama daripada rekod 63 tahun milik legenda negara itu.-UTUSAN










