FIFA minta FAM dedah dalang sebenar isu pemalsuan dokumen

FIFA minta FAM dedah dalang sebenar isu pemalsuan dokumen

FIFA arahkan dua siasatan dalaman dilakukan secara terperinci berhubung isu pentadbiran sekretariat FAM dan status tujuh pemain warisan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus menjadi perhatian apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan dua siasatan dalaman dilakukan secara terperinci berhubung isu pentadbiran sekretariat FAM dan status tujuh pemain warisan yang digantung sebelum ini.

Menurut FIFA dalam alasan bertulis penuh atau motivated decision setebal 64 muka surat, badan dunia itu menegaskan peranan sekretariat FAM perlu disiasat segera bagi mengenal pasti kelemahan serta individu yang bertanggungjawab terhadap pemalsuan dokumen.

Dalam laporan itu, FIFA menyifatkan ketiadaan tindakan tegas sebagai satu bentuk “lack of accountability” dan memberi gambaran ada masalah serius dalam budaya tadbir urus organisasi berkenaan.

FIFA turut mengarahkan FAM mengenal pasti dan mendedahkan dalang sebenar yang memalsukan dokumen tujuh pemain berkenaan, sambil menekankan keperluan penuh untuk proses itu dilakukan secara menyeluruh dan telus.

Badan induk bola sepak antarabangsa itu menegaskan, sehingga kini tiada pemecatan atau laporan rasmi kepada pihak berkuasa dilakukan FAM, meskipun kes melibatkan dokumen rasmi dianggap kesalahan berat dan berimplikasi besar kepada integriti pertandingan.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa mengarahkan Sekretariat untuk mengambil langkah segera bagi melancarkan satu siasatan formal terhadap operasi dalaman FAM.

“Siasatan ini bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen; menilai kecukupan dan keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM; serta menentukan sama ada tindakan tatatertib tambahan perlu dikenakan terhadap pegawai-pegawai FAM,” kata FIFA.

Sebelum ini, FAM mengesahkan badan induk itu memohon alasan bertulis penuh berhubung keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan hukuman ke atas tujuh pemain negara.

Susulan keputusan berkenaan, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) kepada FIFA sementara tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazwbal dan Hector Hevel dikenakan denda CHF2,000 (lebih kurang RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN