FIFA dedah alasan bertulis kes pemain warisan Malaysia

FIFA dedah alasan bertulis kes pemain warisan Malaysia

FIFA mendedahkan laporan terperinci dalam 64 muka surat mengenai keputusan Jawatankuasa Rayuan yang diumumkan pada 3 November lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan panjang yang mencetuskan kejutan dalam bola sepak negara akhirnya diperincikan apabila Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan alasan bertulis berhubung hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan yang terbabit dalam isu pemalsuan dokumen.

Dokumen setebal 64 muka surat itu, yang disiarkan menerusi laman rasmi FIFA, menghuraikan secara terperinci keputusan Jawatankuasa Rayuan yang dimuktamadkan pada 3 November lalu sekali gus mengekalkan semua hukuman yang dikenakan sebelum ini.

Menurut laporan tersebut, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM serta tujuh pemain berkenaan bergantung kepada sijil kelahiran palsu bagi menyokong dakwaan bahawa mereka mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, sekali gus melayakkan diri menyarung jersi Harimau Malaya.

Siasatan lanjut mendedahkan FAM menyenaraikan datuk dan nenek pemain terbabit sebagai individu kononnya lahir di Malaysia, sedangkan rekod rasmi yang diterima dari Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda membuktikan sebaliknya, kesemuanya lahir di negara asal masing-masing.

FIFA turut menegur tindakan FAM mengemukakan dokumen bercanggah serta dakwaan keturunan yang tidak sah, selain gagal membuat semakan sewajarnya walaupun berulang kali diminta memberikan penjelasan oleh badan induk itu.

Pemalsuan dokumen berkenaan turut diakui memainkan peranan besar dalam mendapatkan pengesahan kelayakan pemain, membolehkan mereka turun beraksi dalam perlawanan antarabangsa termasuk kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada Jun lalu, dengan dua daripada pemain warisan tersebut menjaringkan gol.

Jawatankuasa Rayuan FIFA dalam dapatan mereka menegaskan pemalsuan itu memberikan “kelebihan tidak wajar” kepada Malaysia dan menolak dakwaan ia hanya kesilapan kecil atau isu pentadbiran.

Dalam rayuan, FAM memaklumkan setiausaha agungnya telah digantung tugas sementara, manakala satu jawatankuasa bebas diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dalaman.

Bagaimanapun, FIFA menegaskan langkah tersebut tidak memadai untuk mengubah keputusan asal kerana kesalahan yang dilakukan memberi kesan besar terhadap integriti pertandingan.

Pada September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjatuhkan denda 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain masing-masing dikenakan denda 2,000 Swiss franc (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

Tujuh pemain berkenaan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN