KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjaya menerbitkan Sukuk Dengan Jaminan Kerajaan bernilai RM3.72 bilion dan Pembiayaan Kredit Pusingan Islam dengan Jaminan Kerajaan (GGRC-i) berjumlah RM5.2 bilion setakat 30 September lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penerbitan itu menjadikan keseluruhan sukuk yang dikeluarkan mencecah RM8.92 bilion.
Beliau berkata, tempoh matang bagi GGRC-i adalah pada Jun 2027.
“Tumpuan utama FGV selepas dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada Ogos lalu adalah melaksanakan penstrukturan semula operasi dan pertubuhan bagi memastikan syarikat lebih cekap, berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) mengenai hala tuju FGV Holdings Bhd. (FGV) selepas dinyahsenarai serta terma yang dikenakan kerajaan kepada Felda berhubung pinjaman bagi pembelian saham FGV.
Ahmad Zahid berkata, sebagai pemegang saham terbesar, Felda akan memastikan FGV kekal komited menjana aliran tunai mampan.
Katanya, pulangan konsisten daripada keuntungan akan disalurkan semula untuk memperkukuh kedudukan kewangan Felda serta menjamin kebajikan peneroka.
“Selain itu, penyatuan operasi FGV bersama Felda turut membuka ruang pelaksanaan ekonomi skala, khususnya dalam perolehan input ladang seperti baja, racun dan peralatan.
“Langkah itu memberi penjimatan kos yang besar sekali gus mengurangkan beban kos ladang dan lot peneroka.
“FGV juga memberi tumpuan kepada peluasan perniagaan hiliran bernilai tambah seperti oleokimia, produk makanan berasaskan sawit, biodiesel dan tenaga boleh diperbaharui.
“Langkah-langkah itu dijangka memacu pertumbuhan baharu serta meningkatkan nilai tambah kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










