PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad berpandangan dana badan induk bola sepak itu seharusnya digunakan bagi pembangunan bola sepak negara, bukannya menanggung kos perundangan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Tegasnya, sekiranya mempunyai lebihan kewangan, adalah lebih baik dana berkenaan disalurkan bagi melunaskan tunggakan gaji pemain tempatan yang lebih memerlukan.
“Kalau tak silap saya, proses itu akan menelan belanja berjuta-juta ringgit juga. Alangkah baiknya kalau dana sebanyak itu digunakan untuk pembangunan akar umbi bola sepak kita.
“Malah, kalau ada yang bermurah hati, lebih elok jika wang itu digunakan untuk melangsaikan tunggakan gaji pemain-pemain kita. Itu lebih bermanfaat untuk pemain tempatan dan bola sepak negara sendiri, daripada kita membuang masa dan membazirkan wang ke CAS,” katanya.
Azzuddin berkata demikian ketika mengulas keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menolak rayuan FAM berhubung kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan negara baru-baru ini.
Difahamkan, jika FAM meneruskan hasrat membawa isu tujuh pemain warisan ke CAS, kos keseluruhan dijangka mencecah sekurang-kurangnya RM1 juta atau lebih merangkumi yuran rayuan, guaman, kepakaran serta pendahuluan perbicaraan.
Azzuddin turut menegaskan kepentingan utama yang harus ditumpukan FAM adalah usaha memperkukuh struktur pembangunan, tadbir urus dan kebajikan pemain tempatan, berbanding menanggung risiko kewangan yang tinggi dalam proses perundangan antarabangsa.
“Dalam keadaan sekarang, apa yang penting ialah pembaikan dari dalam. Kita perlu tingkatkan kecekapan pentadbiran dan telus dalam semua urusan supaya nama bola sepak negara tidak lagi tercemar di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain negara dan denda ke atas FAM yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada hujung September lalu.
Keputusan itu dibuat susulan kesalahan memalsukan maklumat bagi mendapatkan kelayakan bermain di peringkat antarabangsa.
Selain digantung, setiap pemain turut dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,900) manakala FAM diperintah membayar denda keseluruhan 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta).
Isu itu dijangka berlanjutan selepas FAM dilapor berhasrat membawa kes berkenaan ke CAS dalam masa terdekat bagi mencabar keputusan FIFA itu.-UTUSAN










