KUBANG PASU: Enam sahabat merupakan antara 4,000 rakyat Malaysia yang terkandas di Hat Yai, Thailand sejak Jumaat lalu akibat banjir, lega apabila dapat kembali ke tanah air, hari ini.
Amir Ibrahim, 40, berkata, dia dan lima rakan bersiap sedia untuk pulang sejak pukul 8 pagi tadi dan keluar sebaik pihak bomba Thailand membenarkan kenderaan melalui jalan di situ.
“Kami ambil inisiatif cepat keluar, hubungi pikap untuk bawa kami keluar dari sini. Bila bomba sana bagi isyarat boleh jalan, kami terus bergerak keluar.
“Tak mahu tunggu lama kerana takut terkandas lagi dua tiga hari kerana ada yang kata banjir ini mungkin sampai Selasa,” katanya ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.
Katanya, dia dan rakan-rakan yang bekerja di sebuah hotel di Langkawi bercuti di Hatyai sejak Jumaat lalu dan bersyukur selepas selamat tiba ke sempadan kira-kira pukul 11 pagi ini.
“Dua malam kami berada di sana tanpa bekalan elektrik dan air setelah keadaan banjir semakin buruk. Saya terpaksa redah air untuk pergi beli minuman dan mi segera di kedai berhampiran untuk jadikan bekalan,” ujarnya.
Katanya, dia sedih kerana tidak dapat membantu rakyat Malaysia yang terkandas di sana.
“Kami dapat maklumat ada yang terputus bekalan makanan, susu bayi habis. Saya tidak berdaya nak bantu kerana air sangat dalam, ada sehingga paras dada,” jelasnya.
Ujarnya, kejadian itu memberi pengajaran kepadanya supaya memeriksa ramalan cuaca terlebih dahulu sebelum pergi ke sesuatu tempat terutama ke luar negara.
Sementara itu, rakannya, Nurfarah Amalina Abd. Aziz, 33, berkata, banjir di tempat penginapannya tidak seteruk kawasan lain.
“Air kena jimat sebab waktu itu hanya ada air tangki sahaja. Bekalan elektrik diputuskan dan kami hanya bergantung kepada cahaya lampu jalan,” katanya. – UTUSAN










