Edisi Jubli Perak MILO Storm U22 tawar hadiah RM265,800

Edisi Jubli Perak MILO Storm U22 tawar hadiah RM265,800

BARISAN Penaja bersama beberapa pemain negara yang bakal beraksi di Kejohanan boling remaja MILO Storm U22 International Junior All-Stars.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejohanan boling remaja MILO Storm U22 International Junior All-Stars, kembali dengan penganjuran lebih besar dan berimpak tinggi sempena edisi Jubli Perak yang berlangsung dari 3 hingga 14 Disember di Sunway Megalanes.

Memasuki edisi ke-25, kejohanan itu mengukuhkan statusnya sebagai pertandingan junior paling lumayan di rantau ini apabila menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM265,800, peningkatan RM58,700 atau 22 peratus berbanding tahun lalu.

Peningkatan hadiah turut melibatkan beberapa kategori utama, selaras dengan penyertaan yang semakin meningkat saban tahun.

Juara kategori Lelaki Terbuka kini bakal membawa pulang RM30,000, manakala juara Lelaki Berbahagi (Graded) menerima RM20,000, kedua-duanya meningkat RM5,000 berbanding edisi sebelumnya.

Tahun ini juga menyaksikan pengenalan kategori baharu, Super Junior, bagi pemain bawah 29 tahun, menggantikan Gen Z Challenge yang sebelum ini terbuka kepada pemain bawah 25 tahun sejak 2021.

Gen Z Challenge diperkenalkan selepas pandemik Covid-19 sebagai platform mengembalikan semangat kompetitif pemain muda, dan kejayaannya membuka ruang kepada format Super Junior yang lebih inklusif.

Juara Super Junior bakal menerima RM15,000, manakala peserta wanita terbaik memperoleh tambahan RM3,000. Ini bermakna pemain wanita berpeluang meraih sehingga RM18,000 sekiranya muncul juara keseluruhan.

Dalam kategori campuran ini, semua pemain wanita turut menerima handicap tujuh pin setiap permainan.

Seperti dijangka, kejohanan edisi kali ini menerima sambutan luar biasa dengan lebih 800 penyertaan dari 16 negara. Antara penyertaan terbesar adalah dari Singapura (288), Korea Selatan (82), Australia (45) dan Jepun (25).

Malaysia turut menurunkan barisan pemain muda terbaik bagi kategori Lelaki dan Wanita Terbuka termasuk Ethan Damien Goh, Aiman Syahin Sulaiman, Wan Zarif Ikram Wan Mazlan serta Adelia Nur Irwan Syazalee.

Ethan, 15, sedang menikmati tahun penuh kejayaan selepas mencipta sejarah memenangi gelaran berganda kategori lelaki terbuka dan lelaki remaja pada Terbuka Malaysia, April lalu.

Aiman pula tampil konsisten dengan kejayaan menjulang gelaran kebangsaan lelaki pada Oktober.

Kedua-dua mereka turut bergandingan meraih emas beregu lelaki pada Kejuaraan Remaja Asia yang turut berlangsung di Sunway Megalanes.

Adelia pula dijangka beraksi dengan keyakinan tinggi selepas membuat penampilan pertama di Kejohanan Dunia IBF serta kini bersama skuad kebangsaan di Hong Kong.

Pengarah Sunway Megalanes, Foong Tak Meng, menyifatkan penganjuran edisi Jubli Perak sebagai detik bermakna dalam sejarah kejohanan.

Beliau berkata ramai pemain ternama negara termasuk Rafiq Ismail dan bakat baharu seperti Ethan Damien bermula di platform kejohanan ini seawal kategori bawah 12 dan bawah 15, sesuatu yang jarang ditawarkan oleh kejohanan lain.

“Kita berjaya mencapai edisi ke-25 adalah pencapaian besar buat semua yang terlibat. Dalam tempoh lebih dua dekad ini, kejohanan ini menjadi pemangkin penting kepada pembangunan bakat muda di Asia, tempat di mana ramai bintang dunia memulakan langkah pertama mereka.

“Malah ikon dunia seperti Jason Belmonte dari Australia juga pernah bersaing di sini pada awal kariernya. Itu membuktikan sejauh mana kejohanan ini telah berkembang, dan kami komited untuk terus meningkatkan standardnya sempena edisi Jubli Perak ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Sukan Nestle Malaysia, Kerwin Lim, berkata MILO bangga meneruskan kerjasama dengan kejohanan yang dianggap sebagai antara paling berpengaruh dalam pembangunan atlet muda.

“MILO berbangga menjadi rakan kejohanan ini terutama apabila ia meraikan edisi Jubli Perak. Sejak dari awal, fokus kami adalah menyokong pertumbuhan atlet muda, dan kejohanan ini mencerminkan segala yang kami perjuangkan peluang, pembangunan dan semangat memberi yang terbaik.

“Selama 25 edisi, kejohanan ini banyak melahirkan generasi juara baharu Malaysia dan membantu mengukuhkan landskap boling remaja di Asia. Kami komited terus menyokong bakat muda melalui program yang membina keyakinan, ketahanan dan gaya hidup aktif,” ujarnya.

Dengan hadiah lebih besar, kategori yang dipertingkatkan serta penyertaan antarabangsa yang meluas, edisi ke-25 MILO Storm U22 International Junior All-Stars dijangka terus menjadi pentas penting melahirkan bintang masa depan dalam arena boling dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN