TOKYO: Calon utama pingat emas Deaflympics 2025, pasukan boling lelaki berdepan detik kekecewaan apabila tersingkir seawal pusingan pertama berpunca daripada masalah pengangkutan dari tempat penginapan ke venue pertandingan.
Kontinjen negara menginap di hotel Keio Presso Inn Shinjuku menuju ke venue Higashiyamato Grand Bowl mengambil masa perjalanan menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan kira-kira 1 jam 30 minit sejauh 37 kilometer dan acara dijadualkan bermula 10 pagi.
Akibat masalah pengangkutan itu, mereka tiba lebih lewat ke venue tanpa sempat melakukan pemanasan badan sebelum kejohanan bermula.
Ketua jurulatih boling negara, Joe Tay berkata, beliau sangat kecewa yang mana insiden itu membuat pemainnya, Mohd Firdaus Mohamad, Syabil Azam Syamsul Azam, Ho Choon Seong dan Mohd Zaidi Awang kehilangan focus untuk bertanding.
“Bas kami sepatutnya sampai pada jam 7.55 pagi, jadi kami berada tepat pada waktunya. Tetapi mereka memberitahu slot itu tidak ada dan hanya bas jam 6.50 pagi yang tersedia dan kami sudah terlepas. Saya tunjukkan bukti dengan gambar, namun semuanya terlewat sehingga jam 8 lebih sebelum akhirnya mereka sediakan teksi untuk kami ke venue.
“Apabila kami tiba, semuanya kelam-kabut. Para pemain berlari ke sana ke mari dan tiada masa untuk pemanasan langsung. Mereka terpaksa masuk dan bermain serta-merta,” kata Joe.
Mengikut format pertandingan, hanya lapan pasukan teratas dari pusingan pertama mara ke pusingan kedua dan Malaysia menamatkan pusingan pertama di tempat kesembilan dengan jumlah 1,123 jatuhan pin, sekali gus gagal ke pusingan seterusnya.
Korea Selatan mendahului pusingan itu dengan 1,283 jatuhan pin, diikuti Jerman (1,234) dan Taiwan (1,180).
Sementara itu, Joe berkata kontinjen Malaysia akan membuat aduan rasmi kepada penganjur berhubung insiden itu dan berharap para atlet terus tabah serta menumpukan perhatian bagi acara berpasukan wanita hari ini serta berpasukan campuran pada Selasa.
“Pasukan lelaki memang mempunyai peluang terbaik untuk menang, tetapi sekarang tiada apa yang boleh dilakukan. Saya sangat kecewa kerana sasaran saya adalah mereka melangkah jauh dalam acara ini,” katanya.
Persatuan Sukan Pekak Malaysia (MSDEAF) menetapkan sasaran tiga pingat emas pada temasya tahun ini, khususnya dalam acara badminton beregu wanita, badminton beregu campuran dan boling berpasukan lelaki.
Setakat ini, Malaysia mengumpul satu emas (boling beregu lelaki), satu perak (boling beregu wanita) dan satu gangsa (badminton beregu campuran). – UTUSAN










