Deaflympics 2025: Kontinjen negara tidak gentar cuaca sejuk

Deaflympics 2025: Kontinjen negara tidak gentar cuaca sejuk

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (tengah kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Pekak Malaysia Mohd. Yusri Abdul Ghani (tengah kanan) pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Pekak Malaysia ke Deaflympics 2025 edisi ke 25 di Tokyo, Jepun. - IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara ke Deaflympics 2025 tidak gentar berdepan cabaran cuaca sejuk di Jepun apabila berlepas awal pagi ini bagi menyesuaikan diri dengan suhu yang mencecah hampir kira-kira 14 darjah Celsius.

Ketua Kontinjen ke Deaflympics, Mohd Yusri Abdul Ghani berkata, seramai atlet dan pegawai akan berlepas ke Miyoshi (Tokyo) kira-kira pukul 7.30 pagi bagi menjalani latihan serta penyesuaian cuaca sebelum temasya bermula pada 15 November ini.

“Untuk hari ini, saya harapkan semua atlet menjaga kesihatan. Malam ini (tadi) kami ada sedikit majlis sebelum berlepas ke Jepun esok (hari ini). Dalam jam 4.00 pagi kami akan bertolak dari hotel ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan penerbangan dijadualkan pada 7.30 pagi.

“Kami akan sampai ke Miyoshi dan tinggal di sana selama dua minggu untuk latihan serta persiapan terakhir. Pengesahan yang saya dapat, temasya akan bermula pada 14 November,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri menjelaskan aspek kesihatan menjadi keutamaan memandangkan Jepun ketika ini sedang berdepan cuaca yang cukup mencabar.

“Kami dah utamakan keselamatan mereka. Kami akan bawa ahli fisioterapi dan doktor ke sana kerana cuaca di Jepun agak sejuk. Sebelum berlepas pun semua atlet sudah menjalani pemeriksaan kesihatan di ISN (Institut Sukan Negara) dan semuanya baik buat masa ini,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan pihaknya tidak berdepan sebarang kebimbangan untuk berlepas lebih awal kerana segala persiapan telah dibuat dengan rapi oleh ISN dan pasukan perubatan.

“Kami tak ada risau apa-apa. Semua sudah siap. Kalau berlaku apa-apa di sana, kita akan berkomunikasi dengan pihak berkenaan dan ambil tindakan segera,” katanya.

Untuk rekod, pada edisi Deaflympics 2022 di Brazil, kem Malaysia membawa pulang dua pingat emas menerusi acara badminton beregu wanita dan boling berpasukan wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN