Deaflympics 2025: Kem olahraga tutup tirai tanpa pingat  

Deaflympics 2025: Kem olahraga tutup tirai tanpa pingat 

Kem olahraga gagal membutirkan sebarang pingat walaupun mara ke final dalam beberapa acara Sukan Deaflympics 2025 di Tokyo, Jepun, hari ini. - IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Tirai acara olahraga Deaflympics 2025 melabuh dengan suram buat kontinjen negara apabila harapan menghadirkan kilauan pada hari terakhir temasya itu tidak kesampaian.

Tiga wakil Malaysia dalam acara 5,000 meter (m), 4x400m dan lompat jauh gagal menempatkan diri dalam kelompok terbaik pada aksi yang berlangsung di Stadium Taman Olimpik Komazawa, hari ini.

Azlan Kuste, yang sebelum ini dua kali memecahkan rekod kebangsaan 1,500m, tidak berjaya mengulangi prestasi luar biasanya apabila sekadar menamatkan saingan 5,000m di kedudukan ke-12 dengan catatan 16 minit 38.49 saat (s).

Aksi final itu menyaksikan penguasaan penuh atlet Kenya apabila mereka menyapu bersih ketiga-tiga tempat podium menerusi Ian Kahinga Wambui yang meraih emas dengan 13:52.83s, diikuti James Musembi Mwanza (14:15.28s) dan Nelson Kipkorir Rotich (14:43.35s).

Sementara itu, kuartet 4x400m negara yang dibarisi Muhammad Zumar Azman, Muhammad Zamir Azman, Azlan serta Muhammad Shahrul Azmeer Azman tidak mampu melonjak lebih tinggi apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.

Bagaimanapun, mereka berjaya mencatat peningkatan apabila merekodkan 3:33.18s, lebih baik berbanding aksi pusingan pertama (3:33.94) pada Sabtu lalu.

Pingat emas acara itu menjadi milik pasukan tuan rumah, Jepun, yang mempamerkan kelajuan luar biasa dengan catatan 3:17s, manakala Colombia (3:18.97s) dan Turkiye (3:19.03s) melengkapkan podium.

Dalam acara lompat jauh, Zaiman Megat Abu tidak berjaya mengulangi sentuhan emasnya ketika Sukan SEA Pekak (SEADEAF) Jakarta 2025 apabila hanya mampu melakukan lompatan 6.57m untuk menduduki tempat kesembilan.

Seorang lagi wakil negara, Hazrul Syah Hamri berdepan hari malang apabila menamatkan saingan di kedudukan terakhir dengan catatan 6.20m. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN