TOKYO: Masa depan ketua jurulatih boling negara, Joe Tay menjadi tanda tanya besar selepas beliau memberi bayangan mahu angkat kaki sejurus tamat Sukan Deaflympics 2025.
Walaupun kem boling menyumbang emas dan perak, Joe tetap meluahkan rasa hampa apabila skuadnya gagal menghadirkan sebarang pingat dalam acara berpasukan lelaki dan campuran.
Jurulatih yang membimbing skuad pekak sejak bulan Oktober tahun lalu itu mengakui mahu berbincang segera dengan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr. Ong Shi Ruenn berhubung kontraknya yang tamat selepas temasya ini.
“Saya sendiri tidak pasti sama ada akan menyambung tugas atau tidak dan saya perlu bertemu presiden terlebih dahulu,” kata Joe kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau mendakwa prestasi skuadnya banyak terjejas gara-gara venue pertandingan terlalu jauh daripada hotel hingga mengekang fokus dan persiapan atlet.
“Jika penginapan lebih dekat dengan venue, saya percaya kami mampu membawa pulang lebih banyak pingat,” ujarnya.
Malaysia menutup tirai saingan Deaflympics 2025 menerusi acara berpasukan campuran namun tersingkir pada pusingan pertama selepas sekadar berada di tempat kesembilan dengan hanya satu jatuhan pin memisahkan mereka daripada kelompok lapan terbaik untuk mara ke pusingan kedua.
Untuk rekod, emas tunggal negara disumbangkan beregu lelaki Syabil Azam Syamsul Azam-Ho Choon Seong manakala beregu wanita Nor Misha Nathera Mackery-Huwainaa Danduan Abdullah menghadiahkan perak.
Secara keseluruhan, Malaysia membawa pulang satu emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus gagal memenuhi sasaran tiga emas MSDeaf yang menambah tekanan kepada keputusan masa depan Joe. – UTUSAN










