TOKYO: Malaysia akhirnya meraih emas pertama di Deaflympics 2025 menerusi pasangan boling lelaki, Syabil Azam Syamsul Azam-Ho Choon Seong dalam aksi final penuh dramatik di Higashiyamato Grand Bowl, hari ini.
Pasangan negara itu mempamerkan ketenangan luar biasa untuk menewaskan gandingan Ukraine, Danyliuk Vadym-Lalovega Vladyslav dengan keputusan 2-1.
Mereka merekodkan jatuhan pin 243, 181 dan 226 sekali gus memastikan sorakan kemenangan bergema buat kontinjen negara selepas tujuh hari menanti.
Syabil, 21, menyifatkan kejayaan itu sebagai rezeki tidak ternilai dan mendedikasikan emas tersebut buat kedua ibu bapanya yang banyak berkorban.
“Alhamdulillah. Hari ini rezeki kami untuk menang pingat emas Deaflympics. Saya sangat gembira dapat membanggakan ibu bapa saya. Pingat ini untuk mereka kerana mereka banyak menyokong saya,” kata Syabil.
Choon Seong pula berkata semua kepayahan latihan terubat sebaik sahaja pin terakhir tumbang pada siri ketiga aksi final.
Kejayaan beregu lelaki ini dianggap luar jangka kerana bukan berada dalam ramalan tiga emas yang disasarkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).
Setakat ini, badminton hanya menyumbang satu gangsa menerusi beregu campuran manakala acara berpasukan boling lelaki akan menjadi tumpuan seterusnya pada Ahad. – UTUSAN










