PUTATAN: Perikatan Nasional (PN) akan menubuhkan Tabung Masa Depan Sabah (SFF) iaitu sebuah dana kekayaan berdaulat dengan modal permulaan berperingkat sebanyak RM10 bilion jika diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran manifesto itu merangkumi 12 tunjang utama pembangungan negeri dengan 159 tawaran untuk rakyat Sabah.
Selain itu, PN akan memperjuangkan ketetapan dalam Perjanjian Malaysia 1963 iaitu 40 peratus hasil bersih Sabah mesti dikembalikan selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, katanya PN memperuntukkan dana permulaan berjumlah RM3 bilion sebagai langkah untuk menyelesaikan masalah infrastruktur yang membelenggu rakyat.
“Keutamaan segera adalah untuk memulihkan bekalan air terawat kepada rakyat negeri Sabah, melaksanakan projek penyelenggaraan dan pembaikian jalan dengan kadar segera.
“Memulihkan sistem tenaga elektrik Sabah dan memudah cara pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo Sabah,” katanya ketika membentangkan manifesto PN di sini, hari ini.
Selain itu, PN memperuntukan khas sebanyak RM500 juta bagi penstrukturan semula perancangan bandar, penaiktarafan sistem saliran utama dan sokongan infrastruktur tebatan banjir
Muhyiddin berkata, PN berhasrat memperkenalkan agenda Mineral Untuk Sabah Termaju (MUST) iaitu satu pelan bagi menjadikan industri mineral sebagai sumber kekayaan baharu Sabah.
“Untuk tujuan ini, Perikatan Nasional akan mewujudkan sebuah kementerian khusus bagi menguruskan industri mineral Sabah.
“PN juga membentangkan Kertas Putih Industri Mineral Sabah bagi mendedahkan kedudukan sebenar pengurusan sumber mineral, termasuk pemberian konsesi dan lesen,” katanya.
Katanya, PN akan menggubal undang-undang bagi memastikan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah menerima peruntukan tahunan yang sama, tanpa mengira parti politik.
“Kita juga akan menubuhkan sebuah Ombudsman Sabah yang bebas untuk menerima dan menyiasat aduan awam berkaitan penyelewengan, salah laku pentadbiran, dan ketidakpatuhan terhadap peraturan kewangan.
“Kita juga akan menggubal dan meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat untuk membolehkan orang ramai mendapatkan akses kepada maklumat dan data rasmi Kerajaan,” katanya.
Muhyiddin berkata, PN jika diberi mandat turut menyediakan bantuan subsidi tiket penerbangan Mahasiswa Sayang Sabah (MSS) RM1,000 setahun bagi setiap anak Sabah yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.-UTUSAN










