Cklamovski bangga Harimau Malaya tutup 2025 dengan bergaya

Cklamovski bangga Harimau Malaya tutup 2025 dengan bergaya

Peter Cklamovski
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski berasa bangga dengan prestasi pasukannya menutup tahun 2025 dengan rekod bersih selepas menewaskan Nepal 1-0.

Katanya, meskipun hanya meraih kemenangan tipis namun perkara paling penting adalah mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 tanpa tewas sekali gus memimpin Kumpulan F dengan mengutip 15 mata hasil lima kemenangan berturut-turut.

“Kami tamatkan 2025 dengan tiga mata penuh. Saya benar-benar bangga dengan barisan pemain yang sentiasa berlatih keras setiap hari untuk menang, dan mereka telah melaksanakan tugas dengan cemerlang.

“Separuh masa pertama menunjukkan tanda-tanda bagaimana untuk menang. Kami lihat ruang yang boleh dimanfaatkan dan itulah mesej yang kami sampaikan kepada pemain pada separuh masa kedua,” katanya, pada sidang media selepas perlawanan, sebentar tadi.

Menurut Cklamovski, anak buahnya kekal sabar dan tidak panik, sambil terus mengekalkan tempo serta intensiti permainan sepanjang perlawanan yang menyaksikan Malaysia menguasai hampir keseluruhan permainan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

“Separuh masa kedua bermula dengan baik dan hasilnya muncul dalam bentuk gol kemenangan. Kami tentu mahu menjaringkan lebih banyak gol dan banyak peluang telah tercipta.

“Ini adalah satu lagi kemenangan bersih. Ia diperoleh dengan susah payah, tetapi kami berpuas hati kerana tamatkan 2025 tanpa kalah dan berada di tangga teratas,” ujarnya.

Cklamovski berharap pencapaian itu memberikan kebanggaan kepada semua rakyat Malaysia yang menonton perlawanan ini sama ada di stadium mahupun di rumah.

“Mesej kami kepada seluruh negara adalah percaya kepada pemain-pemain ini dan percayalah dengan pembangunan bola sepak yang sedang kita bina,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi menyaksikan skuad Harimau Malaya berjaya meraih kemenangan tipis 1-0 hasil gol tunggal Faisal Halim pada minit ke-56.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN