“BUAT cerita ketengahkan isu sakit mental, orang tak nak tengok.”
Seloroh pelakon kacak, Hisyam Hamid di suatu petang kepada pihak media yang ada benarnya juga.
Sebagai pelakon, sudah tentu ada perkara yang diluah mati emak ditelan mati bapak. Namun, jauh di sudut hati, Hisyam tidak pula menyembunyikan perasaan bosan apabila sudah terlalu kerap disuakan dengan naskhah bertemakan curang dan mencurangi.
Bagaimanapun, sebagai pemain seni, Hisyam atau Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 40, faham akan realiti sebenar di mana stesen televisyen akan memilih drama berdasarkan rating penonton saban waktu.
Menurut Hisyam, suka atau tidak, isu curang memang seringkali memperoleh rating yang tinggi walaupun segelintir pihak sudah jelik dengan naskhah seperti ini.
“Bila tidak habis-habis cerita curang sebegini yang mendapat rating tinggi, salah siapa? Sudah tentu penerbit dan penyiar mahu tetap buat cerita begini sebab tontonan yang tinggi.
“Pengkarya kita bukan tidak cuba buat benda baharu, tapi usaha itu tidak mendapat sambutan. Adat dunia perniagaan jika orang keluarkan modal, mesti mahukan pulangan.
“Jika pulangan tidak memberangsangkan buat apa mahu keluar modal lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Jelas Hisyam, sama juga seperti insan lain, dia juga perlu berfikir panjang jika mahu bersikap memilih kerana ada bil yang perlu dibayar. Mahu atau tidak, dia perlu melunaskan setiap kerja yang ditawarkan dengan profesional.
“Sebagai pelakon pun ada projek yang kita nak buat dan perlu dibuat. Kita terpaksa melakukannya. Samalah juga dengan cerita bertemakan curang begini.
“Orang mungkin cakap sudah bosan dengan cerita begini tapi data dan rating menunjukkan masih dapat permintaan tinggi. Kita sebagai pelakon pun tidak boleh lari.
“Cuma secara peribadi memang penatlah terima tawaran begini cuma selagi mana terima tawaran, saya tidak akan tolak rezeki. Jika memilih sangat tidak boleh juga sebab kita berlakon sepenuh masa,” ceritanya.
Bukan mudah cari kelainan
Melihat semula kejayaan karakter Haikal yang pernah dibawakannya menerusi drama hit Andai Tiada Dia, Hisyam mengakui perlu menciptakan magis berbeza agar karakter yang dibawakan menerusi drama seterusnya tidak terikat dengan penampilan sama.
Jelas Hisyam, semakin banyak produksi memberikannya watak antagonis kepadanya baik kaki pukul dan jantan dayus adalah petanda baik bahawa semakin ramai yang mempercayai pelakon asal Singapura itu untuk membawa watak yang lebih kompleks.
“Saya sangat berterima kasih atas semua peluang ini. Jika tidak saya selalunya akan dapat watak hero yang baik-baik sahaja.
“Pada saya berilah sedikit variasi, tidak semestinya seorang pelakon itu elok, kacak, tidak boleh membawakan karakter yang ganas dan kasar.
“Semua itu semuanya terletak kepada kemampuan pelakon. Alhamdulillah karakter yang saya dapat untuk layar perak selepas ini juga menunjukkan perbezaan berbanding karakter yang selalu dibawakan,” ceritanya.
Dalam perkembangan lain, selepas siri Lambaian Huda di aplikasi Viu, Hisyam sedia dikecam menerusi karakter seorang suami yang curang dalam Saat Aku tahu bergandingan Ummi Nazeera dan Anna Jobling sebagai pelakon utama.
“Watak Zarif menarik, bukan sahaja dia red flag tapi cerita ini juga akan tunjukkan mengapa dia jadi sebegitu.
”Penonton akan melihat perubahan graf karakter ini dari jahat kemudian beralih kepada penyesalan. Ada mesej yang ingin disampaikan dalam karakter ini termasuklah kecurangan adalah kesalahan yang besar dalam rumah tangga,” katanya.-UTUSAN










