LIEGE: Belgium mempamerkan kelas sebenar apabila mengaibkan Liechtenstein 7-0 dalam aksi kelayakan terakhir awal pagi tadi, sekali gus menempah tiket ke Piala Dunia 2026 dengan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan J.
Kemenangan kelima daripada lapan perlawanan itu mengumpul 18 mata untuk Belgium dengan dua mata mengatasi pencabar terdekat, Wales dan mengesahkan kemaraan mereka ke Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat tahun depan.
Ini juga bakal menjadi penampilan ke-15 Belgium di pentas Piala Dunia.
Persembahan di Stade Maurice Dufrasne begitu bertenaga, terutama pada babak kedua apabila tuan rumah meledak empat gol dalam tempoh hanya tujuh minit.
Jeremy Doku dan Charles De Ketelaere masing-masing menyumbang dua gol, manakala Hans Vanaken, Brandon Mechele dan Alexis Saelemaekers turut mencetak nama sebagai penjaring.
Belgium memulakan perlawanan dengan tempo tinggi seperti dituntut jurulatih Rudi Garcia. Hanya tiga minit permainan berlangsung, Vanaken menanduk masuk hantaran kapten, Youri Tielemans untuk gol pembukaan.
Gol kedua hadir pada minit ke-32 melalui gerakan mudah Saelemaekers yang melorongkan bola kepada Doku yang tidak dikawal.
Doku kemudian menambah satu lagi pada minit ke-41 selepas menggelecek tiga pemain sebelum menyudahkan rembatan kencang.
Babak kedua menyaksikan pesta gol bermula apabila Tielemans mencipta peluang untuk Mechele menjaringkan gol keempat pada minit ke-52, sebelum Saelemaekers menyambar bola muntah tiga minit kemudian bagi gol kelima.
De Ketelaere melengkapkan malam gemilang Belgium dengan dua gol pantas minit ke-57 dan 59 masing-masing hasil bantuan Doku dan Thomas Meunier.
Belgium yang sebelum ini dikritik kerana sekadar seri 1-1 menentang Kazakhstan bangkit dengan amaran keras bahawa mereka bersedia membuat kebangkitan besar di pentas dunia.-AGENSI










