PARIS: Bayern Munich terus membuktikan status mereka sebagai pasukan pilihan utama Liga Juara-Juara apabila menundukkan juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG), 2-1 di Parc des Princes awal pagi tadi, sekali gus mencatat kemenangan ke-16 berturut-turut musim ini.
Wira kemenangan The Bavarians ialah pemain sayap lincah dari Colombia, Luis Diaz, yang meledak dua gol pada separuh masa pertama sebelum dibuang padang akibat terjahan keras terhadap Achraf Hakimi.
Diaz membuka tirai jaringan seawal minit ke-4 apabila menyambar bola muntah hasil tampanan penjaga gol PSG, Lucas Chevalier, selepas percubaan Michael Olise.
Pemain berusia 27 tahun itu kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-32, memanfaatkan kesilapan kapten PSG, Marquinhos, untuk menolak masuk bola menewaskan Chevalier sekali lagi.
Namun, kegembiraannya tidak kekal lama apabila Diaz dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama selepas mengasari Hakimi, yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan buku lali.
PSG cuba bangkit selepas rehat dan menguasai permainan, namun gagal memanfaatkan deretan peluang.
Gol tunggal tuan rumah hadir pada minit ke-74 menerusi Joao Neves yang menjaringkan sepakan gunting menarik hasil umpanan pemain gantian, Lee Kang-in.
Skuad kendalian Luis Enrique itu menggandakan tekanan pada penghujung perlawanan, namun benteng kental Bayern yang diketuai Manuel Neuer kekal utuh untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.
Kekalahan itu merupakan yang pertama buat PSG dalam kempen kali ini dan juga kekalahan pertama di laman sendiri sejak suku akhir musim lalu menentang Aston Villa.
Dalam pada itu, kemenangan meletakkan skuad kendalian Vincent Kompany itu di tangga teratas kumpulan Liga Juara-Juara dengan 12 mata maksimum, manakala PSG berada di tempat ketiga dengan sembilan mata, selain dibelenggu kebimbangan kecederaan selepas Hakimi dan Ousmane Dembele terpaksa dikeluarkan awal.
Bayern yang pernah ditewaskan PSG 0-2 dalam aksi suku akhir Piala Kelab Dunia Julai lalu, kali ini tampil dengan disiplin tinggi dan taktikal kemas sekaligus memberi amaran jelas bahawa mereka kembali sebagai kuasa besar Eropah musim ini.-AGENSI










