PETALING JAYA: Seramai 36 pelajar dan dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di Hat Yai, Thailand akibat banjir berjaya diselamatkan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kesemua mereka kini berada dalam keadaan selamat dan akan dibawa ke penempatan sementara sebelum proses membawa pulang ke Malaysia dilaksanakan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pengurusan UUM atas koordinasi yang amat berkesan dalam memastikan operasi menyelamat ini dapat dijayakan dengan selamat dan teratur,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.
Sebelum ini, UUM memaklumkan bahawa operasi pemindahan 40 individu termasuk pensyarah itu ke tempat selamat ditangguhkan ekoran hujan lebat di Hat Yai.
Semua pelajar tersebut berada di wilayah itu bagi mengikuti Program Pertukaran Budaya Thailand-Malaysia 2025 dan terkandas sejak 22 November lepas akibat banjir. – UTUSAN










