LONDON: Bekas pelumba Formula Satu (F1), Ralf Schumacher melihat Aston Martin sebagai destinasi terbaik Oscar Piastri jika bintang muda Australia itu meninggalkan McLaren.
Schumacher percaya pasaran pemandu bakal menjadi panas menjelang musim 2027 apabila banyak pasukan mula menilai semula barisan pelumba menjelang era peraturan baharu pada 2026.
Katanya, walaupun Piastri baru sahaja melanjutkan kontrak bersama McLaren, peluang untuk berhijrah ke pasukan lain tetap terbuka selepas tempoh itu berakhir.
“Saya tidak fikir dia akan tinggalkan McLaren sekarang kerana kontraknya baru disambung, mungkin dua tahun dengan pilihan lanjutan.
“Namun selepas itu, dia pasti akan meninjau peluang baharu, dan saya fikir apa-apa yang berwarna hijau, termasuk Aston Martin pasti menarik perhatiannya,” kata Schumacher.
Schumacher turut mengaitkan kemungkinan Aston Martin mencari dua pelumba baharu memandangkan Fernando Alonso dijangka bersara dan prestasi Lance Stroll terus hambar.
“Satu sebab ialah Alonso akan berundur, dan satu lagi ialah prestasi Stroll yang semakin sukar dipertahankan,” katanya.
Tambahnya, kombinasi pelumba muda seperti Piastri dan kehadiran pereka tersohor Adrian Newey menjadikan Aston Martin antara projek paling menarik dalam F1 selepas 2026. – AGENSI










