Armada dakwa penahanan Albert Tei tidak selari tahap profesionalisme SPRM

Armada dakwa penahanan Albert Tei tidak selari tahap profesionalisme SPRM

Albert Tei yang ditahan oleh SPRM di kediaman miliknya pagi tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Insiden penahanan ahli perniagaan Albert Tei oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan tidak selari dengan tahap profesionalisme yang seharusnya dijunjung institusi penguatkuasaan negara.

Ketua Armada Bersatu Selangor, Afiq Nordin berkata, berdasarkan maklumat, peguam beliau telah menunjukkan berlakunya pelanggaran prosedur termasuk ketiadaan pengenalan diri oleh pegawai bertugas, tindakan bergari yang dilihat keterlaluan serta kegagalan memaklumkan destinasi beliau dibawa untuk tujuan siasatan.

Malah katanya, tindakan itu menimbulkan persoalan besar mengenai kewajaran, keperluan serta tatacara penguatkuasaan yang digunakan dalam operasi tersebut.

“Kami ingin menegaskan bahawa dalam apa jua proses siasatan, integriti prosedur dan penghormatan terhadap hak individu mestilah menjadi keutamaan.

“Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan telus dan berhemah kerana tindakan yang bersifat intimidasi atau penggunaan kekerasan yang tidak diperlukan hanya akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap SPRM serta keseluruhan sistem keadilan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM pagi tadi menahan ahli perniagaan Albert Tei selepas pegawai suruhanjaya itu menyerbu kediamannya di Puchong, Selangor.

Justeru, Afiq menggesa pihak kerajaan untuk memberikan penjelasan segera berhubung operasi penahanan tersebut.

“Penjelasan yang jelas amat diperlukan bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan rakyat tidak melihat insiden ini sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa atau tindakan yang didorong kepentingan lain yang berada di luar ruang undang-undang.

“Kami juga akan terus mengikuti perkembangan kes ini dengan teliti. Kami komited untuk memastikan proses keadilan negara dipelihara dan tidak dikompromi oleh apa-apa bentuk tindakan yang menjejaskan keluhuran undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN