Al-Sultan Abdullah sumbang RM100,000 hargai jasa wira sukan negara

Al-Sultan Abdullah sumbang RM100,000 hargai jasa wira sukan negara

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menyampai sumbangan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menerusi Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap jasa para wira sukan tanah air.

Daripada jumlah itu, RM60,000 disumbangkan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), manakala RM40,000 kepada Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri & Kebangsaan.

Sumbangan tersebut dizahirkan ketika acara ‘Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports’ yang berlangsung penuh bermakna di Stadium Merdeka, semalam.

Inisiatif berteraskan kesejahteraan dan perpaduan nasional itu dipimpin oleh Al-Sultan Abdullah bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, dengan menghimpunkan lebih 150 legenda dan bekas atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Antara yang menyerikan majlis ialah bekas ratu terjun negara Datuk Leong Mun Yee, bekas kapten hoki kebangsaan Nor Saiful Zaini Nasiruddin, bekas pelari pecut wanita Shanti Govindasamy, serta dua ikon bola sepak negara Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann. Turut hadir, legenda badminton Datuk Rashid Sidek dan bekas kapten ragbi kebangsaan, Jagjit Singh.

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj, berkata penganjuran acara simbolik itu melambangkan penghargaan tulus terhadap sumbangan legenda sukan tanah air di samping memperkukuh semangat perpaduan nasional.

“Keberangkatan Paduka Baginda berdua menjadikan majlis ini lebih istimewa dan bermakna kerana mencerminkan kasih serta penghargaan mendalam terhadap para wira sukan negara,” katanya.

Inisiatif diraja anjuran YASA dengan kerjasama ShekhinahPR itu turut mendapat sokongan jenama tempatan terkenal Bata, yang sudah 95 tahun bersama rakyat Malaysia. Antara rakan strategik lain ialah FWHS Medik, Merdeka 118, DCS Entertainment, Etika dan Prince Court Medical Centre.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bata Malaysia dan Singapura, Rabi Hasnabi, menyifatkan penyertaan jenamanya dalam inisiatif itu sebagai satu penghormatan besar.

“Melihat legenda sukan berjalan bersama Paduka Baginda berdua memberi inspirasi kepada kami untuk terus memupuk semangat kesukanan dan kebersamaan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Program bersejarah di Stadium Merdeka itu bukan sahaja meraikan warisan sukan dan semangat perpaduan nasional, tetapi turut menjadi simbol perjalanan kolektif rakyat Malaysia dalam mengekalkan nilai kebersamaan, kesejahteraan dan cinta terhadap tanah air.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN