Aina cipta kenangan manis, raih perak acara shooting

Aina cipta kenangan manis, raih perak acara shooting

(Dari kiri) Harith, Azwan dan Aina memberikan skuad negara permulaan yang mantap pada Kejohanan Petanque Asia ke-6 selepas menggondol pingat dalam acara Precision Shooting dalam kategori masing-masing pagi di Arena Petanque Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nur Iman Aina Ahmad Sabti mencipta kenangan terindah dalam penampilan pertamanya dalam acara shooting wanita di Kejohanan Petanque Asia 2025, apabila meraih pingat perak.

Aina yang lebih pakar acara triples tewas 22-27 di tangan wakil Indonesia, Anni Saputri pada aksi akhir yang berlangsung di Arena Petanque Kuala Lumpur, hari ini.

Meskipun meraih perak, ia menjadi kejayaan yang cukup bermakna buat Aina yang dilihat menitis air mata selepas perlawanan tamat dan mengakui langsung tidak menyangka dapat melangkah jauh dalam acara shooting itu.

“Ini adalah kali pertama saya bertanding dalam acara shooting dan mara ke final. Ia sangat mencabar tetapi saya sudah pamerkan aksi dengan sepenuh jiwa.

“Lawan hari ini sangat kuat dan dia sudah menewaskan atlet Thailand yang merupakan juara dunia. Saya akan bekerja lebih keras menjelang Sukan SEA nanti,” katanya.

Pasukan negara turut meraih satu lagi perak dalam kategori shooting remaja selepas Muhd. Harith Muhaimin Hafaizul tewas 26-29 kepada Nun Ravin dari Kemboja di pentas final.

“Prestasi hari ini agak menurun berbanding semalam tetapi saya sudah cuba yang terbaik. Pingat perak ini akan menjadi pembakar semangat untuk terus maju,” jelasnya.

Sementara itu, Muhd. Nuzul Azwan Temizi yang beraksi dalam acara shooting lelaki hanya berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas 19-27 kepada atlet Taiwan, Wu Kun Yu di separuh akhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN