ACL2: Selangor bawa pulang satu mata dari Bangkok

ACL2: Selangor bawa pulang satu mata dari Bangkok

PENJAGA Gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan ACL2 menentang Bangkok United di Stadium Pathum Thani, malam ini.-IHSAN SFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) akhirnya mampu mengutip mata pertama di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) apabila jaringan lewat permainan daripada Chrigor Moraes membantu Gergasi Merah mengikat kelab Thailand, Bangkok United 1-1 di Stadium Pathum Thani, sebentar tadi.

Selangor yang telah tersingkir daripada persaingan merebut tempat ke pusingan kalah mati turun tanpa kelibat kapten mereka, Faisal Halim susulan masalah kecederaan lutut.

Pada babak pertama, skuad kendalian Christophe Gamel dipaksa bekerja keras menepis asakan daripada Bangkok United sejak awal permainan yang menyaksikan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi diuji seawal minit kelima menerusi rembatan Nitipong Selanon.

Penjaga gol berusia 30 tahun itu terus beraksi cemerlang apabila menyelamatkan beberapa percubaan tuan rumah selepas itu, termasuk rembatan jarak dekat Muhsen Al-Ghassani pada minit ke-15.

Selepas kebal bertahan, gawang Selangor akhirnya dibolosi pada minit ke-51 berpunca daripada rembatan Rungrath Phumichantuk yang melakukan tindakan susulan selepas percubaan Al-Ghassani terkena tiang.

Ketika Selangor menghampiri kekalahan kelima berturut-turut, Moraes muncul penyelamat Gergasi Merah apabila merembat masuk bola hantaran lintang Aliff Izwan Yuslan pada masa kecederaan.

Keputusan seri itu menjadi pencapaian terbaik Selangor dalam ACL2 musim ini selepas tewas semua empat perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, kedudukan Selangor tidak berubah apabila menghuni tangga tercorot Kumpulan G dengan hanya mengumpul satu mata.

Aksi terakhir Gergasi Merah dalam saingan ACL2 adalah menentang wakil Singapura, Lion City Sailors di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 10 Disember ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN